NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Public Bank untung RM1.38 bilion






KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Public Bank Bhd meningkat kepada RM1.38 bilion pada suku kedua berakhir pada 30 Jun 2021 berbanding RM1 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan suku pertama tahun ini, keuntungan bersih kumpulan perbankan itu merosot sebanyak 9.5 peratus, terutama disebabkan oleh peruntukan terdahulu yang diketepikan untuk pinjaman terjejas.

Bagi tempoh separuh pertama 2021, keuntungan bersih Public Bank melonjak kepada RM2.91 bilion berbanding RM2.33 bilion pada separuh pertama 2020, manakala keuntungan sebelum cukai adalah sebanyak RM3.79 bilion.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow, berkata keuntungan berterusan kumpulan disokong oleh perniagaan utamanya iaitu pemberian pinjaman dan pengambilan deposit serta pendapatan bukan faedahnya.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi Malaysia pada 2021 membolehkan kumpulan mencatatkan prestasi lebih baik pada enam bulan pertama tahun ini berbanding 2020.

Katanya, prestasi kewangan Public Bank pada tahun lalu menerima impak disebabkan pandemik COVID-19 dan kesan limpahannya ke atas ekonomi.

Bagaimanapun, tegasnya peningkatan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan langkah sekatan yang lebih ketat pada suku kedua 2021 telah memberi tekanan terhadap prestasi perniagaan kumpulan.

"Berikutan persekitaran yang mencabar, kumpulan mengambil langkah proaktif membetulkan semula strategi perniagaan dan memberi penekanan kepada pengurusan risiko berhemat serta peningkatan produktiviti.

"Usaha ini membolehkan kumpulan merekodkan pulangan ekuiti bersih sebanyak 12.9 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 31.6 peratus pada setengah tahun pertama 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Hong Piow berkata, jumlah pemberian pinjaman Public Bank sehingga akhir Jun lalu merekodkan pertumbuhan tahunan 3.7 peratus kepada RM352.1 bilion.

Beliau berkata, pinjaman domestik berkembang pada kadar tahunan sebanyak 3.5 peratus, disokong oleh segmen perbankan runcit yang merangkumi pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan kenderaan penumpang dan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, momentum yang kukuh dalam kelulusan pinjaman direkodkan pada enam bulan pertama tahun ini mencerminkan komitmen kukuh pemberian akses pembiayaan kepada pelanggan.

Malah, katanya dorongan tambahan termasuk insentif pembelian kereta dan hartanah, selain skim pembiayaan khas kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga menggalakkan lagi pertumbuhan pinjaman kumpulan.

Selain itu, katanya Public Bank terus mengadakan libat urus dengan pelanggan dan menyediakan bantuan kewanga fleksibel kepada yang memerlukan.

"Sehingga ini, 23 peratus daripada pinjaman domestik yang tertangguh adalah di bawah bantuan Pembayaran Balik Bersasar.

"Sejak gelombang pertama COVID-19 tahun lalu, kami sentiasa memberi bantuan kepada pelanggan yang menghadapi kekangan aliran tunai dalam pembayaran pinjaman.

"Untuk memberi lebih banyak kemudahan kepada pelanggan, kumpulan membangunkan satu platform digital bagi membolehkan proses dalam talian terus sepenuhnya bagi permohonan pelanggan untuk bantuan pembayaran balik berkenaan," katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo