NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH langgar titah Agong, terus desak sidang diadakan Isnin ini


Pakatan Harapan (PH) mendesak satu sidang khas Parlimen diadakan pada 9 Ogos ini bagi menentukan keabsahan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH mendakwa Muhyiddin tidak bercakap benar dan memberi kenyataan mengelirukan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam berhubung sokongan Ahli Parlimen.

Katanya, desakan itu bertujuan mengulangi pendirian semua parti dalam blok pembangkang termasuk Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

“Ini adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan tidak patut dimaafkan.

“Perkara ini boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Mahiaddin (Muhyiddin),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Mereka berpendapat, “penipuan” yang dilakukan di peringkat tertinggi negara itu memerlukan tindakan tegas dan keputusan menangguhkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sehingga September “amat tidak wajar”.

“Isu sokongan terhadap Mahiaddin (Muhyiddin) dan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional mesti diputuskan sekarang. Selagi mana ia ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan,” kata mereka.

Sementara itu, mereka menuntut agar semua penjawat awam khususnya badan penguat kuasa terus bertindak secara profesional, neutral dan tidak mengikut selera politik parti pemerintah dengan mendakwa berlaku tekanan dan ugutan terhadap Ahli Parlimen khususnya dalam perihal sokongan terhadap Perdana Menteri.

Semalam, dalam satu perutusan khas, Muhyiddin berkata, beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bersedia menghadapi usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat bulan depan.

Muhyiddin membuat pengumuman itu setelah memaklumkan kepada Agong pagi semalam bahawa beliau mempunyai sejumlah surat akuan daripada Ahli Parlimen yang membuktikan beliau masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Tindakan itu dibuat selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti selepas Ahli Parlimen Umno yang “mencukupi angka” memaklumkan kepada Istana Negara mereka tidak lagi menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri.

Semalam, Zahid sekali lagi menyatakan parti itu menghantar akuan berkanun (SD) tambahan senarai Ahli Parlimen parti itu yang menarik sokongan terhadap kerajaan PN walaupun tidak menyatakan angka yang terlibat.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo