NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penangguhan sidang Parlimen berdasarkan sains, fakta kesihatan - TPM




Bera: Penangguhan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung esok dibuat berdasarkan sains dan fakta kesihatan, bukan isu politik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, ia dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah selepas penilaian risiko berikutan peningkatan kes Covid-19 dikesan di Parlimen sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, sehingga petang Khamis lalu, lebih 70 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan dilakukan membabitkan Ahli Parlimen dan pengiring mereka.

"Sebenarnya, sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula, kita sudah mengadakan mesyuarat dihadiri Speaker (Dewan Rakyat) serta wakil pembangkang.


"Dr Noor Hisham sudah memberikan dua cadangan, (pertama) menangguhkan persidangan dan (kedua) mengurangkan masa perbahasan serta jumlah kehadiran Ahli Parlimen dikurangkan.


"Namun, cadangan itu tidak diendahkan dan persidangan diteruskan, yang akhirnya menyaksikan peningkatan kes dikesan.

"Penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini berdasarkan fakta sains dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Ketua Kampung Charuk Puting, Batu Bor, Guai dan Paya Mengkuang di perkarangan Masjid Al-Mutaqin, Cheruk Puting di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penangguhan sidang Parlimen itu wajar bagi mengekang penularan Covid-19 selain mengelak persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

"Kalau di tempat lain, jika jumlah kes positif (Covid-19) dikesan melebihi 40, kita sudah arahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Jadi inilah yang orang marah, seolah-olah kami (Ahli Parlimen) ini 'kayangan', ada imuniti dan kekebalan," katanya.

Beliau turut menjelaskan. sepatutnya persidangan tidak boleh dijalankan, tetapi kebenaran khas diberikan dengan mengurangkan bilangan Ahli Parlimen kepada 80 orang dalam Dewan Rakyat, serta memendekkan perbahasan.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/737343/penangguhan-sidang-parlimen-berdasarkan-sains-fakta-kesihatan-tpm

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo