NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS, UMNO, BERSATU perlu disatukan

KUALA LUMPUR: Tiga parti teras Melayu-Islam dan Bumiputera di negara ini, PAS, UMNO dan BERSATU perlu disatukan dengan mengambil semangat dan pendekatan berdasarkan acuan hijrah zaman Nabi Muhammad SAW.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata penyatuan tiga parti itu penting bagi memimpin perubahan dengan Muafakat Nasional (MN), disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, penubuhan PN ini boleh membawa prinsip yang anjal bagi melakukan perubahan yang positif kepada negara.

"Pada masa sama, ia tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua.

"Jangan terlepas pandang dalam mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah di mana pelaksanaan realiti perpaduan dalam kalangan umat masyarakat majmuk yang paling berjaya dalam sejarah politik dunia.

"Kejayaan yang menyatukan manusia daripada pelbagai agama dan bangsa, berkonsepkan adil kepada semua dan tiada paksaan beragama," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Abdul Hadi berkata, pendekatan berdasarkan acuan hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah ini perlu diperkenalkan semula di Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

Beliau berkata, semua pihak harus mengambil pengajaran dari penjajahan ke atas Tanah Melayu, di mana ketika itu penjajah memaksa untuk mengikut strategi menggunakan rakyat tanah jajahan daripada pelbagai agama dan bangsa supaya menjadi masalah bagi kepentingan politik dan ekonomi mereka.

"Khususnya agenda pecah dan perintah di mana kesannya berpanjangan sehingga kini. Sehinggalah negara kita tetap bermasalah, walaupun dikatakan sudah mengecapi kemerdekaan dan penjajah asing itu sudah pulang ke tanah air mereka.

"Justeru, kita perlu menghargai pemimpin pelbagai kaum yang sama-sama menentang penjajah, walaupun berbeza agama dan bangsa serta berpecah dari sudut kefahaman dan anutan mereka.

"Akan tetapi, semua menanggung nasib sama-sama dijajah dan masing-masing dipergunakan untuk kepentingan penjajah," katanya.

Beliau berkata, asas yang kukuh diletakkan dalam Perlembagaan negara ketika mencapai kemerdekaan, apabila ditegaskan Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta mengiktiraf hak beragama bagi penganut agama lain dan konsep demokrasi.

Katanya, manakala konsep Raja Berperlembagaan menjadi tonggak yang boleh dilakukan tindakan susulan bagi memperkenalkan acuan perpaduan dalam masyarakat majmuk.

- BH

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo