NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS setuju pendekatan rentas sempadan politik diteruskan




26 OGOS: PAS bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan pendekatan rentas parti yang dipelopori Kerajaan Persekutuan, sejak beberapa bulan lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah berkenaan adalah suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

Beliau berkata PAS juga berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.

“Justeru PAS menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang turut memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.

“PAS yakin dalam masa yang sama Kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi
semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

“Dengan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan Perdana Menteri, dan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) hari ini mencapai kata sepakat untuk mengadakan gencatan politik bagi membolehkan kerajaan memberi fokus kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ismail Sabri dipetik berkata, perkara itu dicapai hasil perbincangan beliau bersama Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Jelas Ismail, pertemuan berkenaan diadakan bagi menjunjung kasih di atas nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

“Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

“Persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

“Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – Oleh HAIKA KHAZI

http://www.pnbbcportal.com/2021/08/26/pas-setuju-pendekatan-rentas-sempadan-politik-diteruskan/

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo