Responsive Ad Slot

NGO mohon Najib diberi pengampunan diraja, dilantik Perdana Menteri interim

Anggota polis mengiringi Presiden Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz (tengah) menyerah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon Pengampunan Diraja diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan melantiknya sebagai Perdana Menteri interim di pintu masuk 3, Istana Negara. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menyerahkan warkah kepada Istana Negara, hari ini, bagi mencadangkan Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan diraja seterusnya dilantik Perdana Menteri interim.

Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz, berkata pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa gagal mengawal penularan jangkitan COVID-19 selain tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, beliau mendakwa, kerajaan pimpinan Muhyiddin mengakibatkan ramai rakyat menganggur dan hilang upaya mencari rezeki sehingga wujud kes membunuh diri.

"Ratusan ribu perniagaan dan perusahaan kecil pula ditutup serta muflis. Akhirnya ia menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Pada pandangan patik, daya kepemimpinan dan ketokohan Najib memegang jawatan Perdana Menteri keenam sebelum ini adalah amat baik serta memberangsangkan.

"Ia berdasarkan keupayaan dan kecekapannya menguruskan ekonomi negara di samping membawa nama baik Malaysia ke persada antarabangsa. Najib menunjukkan ketokohan kepemimpinan baik di mata dunia di mana beliau sering menjadi rakan karib kepada pemerintah tertinggi negara.

"Najib mempunyai hubungan dengan kuasa utama dunia dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, keselamatan, pembangunan pendidikan rakyat, sains dan teknologi tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan warkah berkenaan dekat Pintu 3, Istana Negara, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib, Perdana Menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

Bekas Perdana Menteri itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Najib didakwa melakukan semua kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 hingga 2 Mac 2015.

Beliau juga dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Ketika ini, Najib dalam proses menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung rayuannya itu.

Sementara itu, Syed Muhammad Imran berkata, pihaknya kesal dengan situasi COVID-19 ketika ini yang merekodkan kira-kira 20,000 kes positif setiap hari, dengan kadar kematian tinggi sehingga mencecah satu peratus daripada jumlah jangkitan itu.

Katanya, ia satu petunjuk jelas kerajaan dibayangi kegagalan besar menyusun sumber, keupayaan tenaga kerja dan menggerakkan strategi pengurangan kadar jangkitan itu.

"Kerajaan gagal mengekang virus itu daripada tersebar ke dalam komuniti sebagaimana yang terjadi hari ini. Virus itu sudah bunuh lebih 10,000 rakyat negara ini," katanya.

- Bharian


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo