Responsive Ad Slot

Cadangan Muhyiddin bersifat 'demokrasi konsosiasi'

Bangunan Parlimen sebagai lambang demokrasi di Malaysia. - Foto fail NSTP

Oleh Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Cadangan dilontarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada blok pembangkang disifatkan sebagai pendekatan 'demokrasi konsosiasi', ke arah penjajaran baharu politik watan.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Nasrudin Mohammed, berkata ia adalah gambaran di atas kertas, lebih kurang 'kontrak' atau pesefahaman antara PN, UMNO dan PH khususnya yang berteraskan kepentingan sesama.

Beliau yang juga Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam turut menggambarkannya sebagai langkah sementara, namun diyakini oleh Muhyiddin sebagai jalan keluar bagi kemelut politik.

Persefahaman dicadangkan itu bertujuan menstabilkan kerajaan dan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai idea pendemokrasian berbentuk sedemikian mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Sekilas pandang, apa yang disampaikan Perdana Menteri kelihatannya bersifat komunikasi sehala. Muhyiddin mengemukakan cadangan dengan harapan ia akan disambut positif oleh blok pembangkang, termasuk UMNO.

"Apa yang barangkali berbeza dengan model konsosiasi tulen dalam konteks Persekutuan adalah pada keupayaan parti utama dalam sistem politik semasa.

"Dalam keadaan sekarang, tiada parti mampu mendakwa memiliki majoriti tulen. Namun secara berbanding, apa yang ada sekarang barangkali penerimaan perkadaran rasional secara persefahaman antara sesama parti.

"Perkadaran ini mungkin daripada segi jumlah pegangan jawatan serta pengagihan sumber kewangan dan sebagainya," katanya kepada BH.
Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto RTM 
Beliau mengulas tawaran dikemukakan Muhyiddin kepada blok pembangkang dalam usaha menamatkan krisis politik ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang dicadangkan berkuat kuasa hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan nanti.

Mengenai persefahaman bipartisan dicadangkan Muhyiddin, Nasrudin berkata, ia secara jelas membawa negara ke arah pakatan politik antara dua komponen parti terbesar yang secara umumnya berlawanan daripada segi prinsip perjuangan.

"Kini, segalanya bergantung kepada bagaimana blok pembangkang memilih kaedah untuk menyambut cadangan Perdana Menteri. Kita tunggu," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, menyifatkan tawaran kepada pihak pembangkang itu sebagai pendekatan terakhir digunakan Muhyiddin untuk membawa kepada penghujung krisis politik. Ia bagi membolehkan proses semak imbang diteruskan, selain kerajaan dapat berfungsi ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

"Untuk mengelakkan krisis ini berterusan pasca proses undi percaya, beliau (Muhyiddin) berharap dengan tawaran ini blok pembangkang juga bersedia mengetepikan perbezaan fahaman politik dan berikan tumpuan kepada agenda semasa sehingga bersedia untuk mengadakan pilihan raya.

"Semua pihak mungkin perlu kembali kepada meja rundingan kerana pembangkang ada tiga pilihan iaitu menerima dan bersedia untuk berbincang, menolak kerana beranggapan ia sudah terlewat atau menerima secara bersyarat kerana mungkin ada perkara lain mahu ditambah supaya mendatangkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

"Saya rasa pembangkang tidak akan tolak (tawaran Muhyiddin) kerana ia adalah berdasarkan manifesto Pakatan Harapan sebelum ini dan berkemungkinan besar mereka (pembangkang) bersetuju dengannya," katanya.

Ditanya kemungkinan tawaran itu ditolak blok pembangkang, Sivamurugan berkata, ia secara tidak langsung menunjukkan usul undi percaya kepada Muhyiddin sukar dilakukan di Dewan Rakyat.

"Jika keadaan ini berlaku, Perdana Menteri wajar meletak jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen," katanya.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo