Responsive Ad Slot

MOU tidak nyata projek terowong dibuat secara tender terbuka: Saksi

Guan Eng keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, selepas hadir untuk perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, memaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang bahawa projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu ditawarkan secara tender terbuka.

Bekas Exco Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata, semasa MMK negeri pada 27 April 2011 ada catitan yang menyatakan bahawa, Guan Eng menyatakan ada tender terbuka berhubung projek itu sebelum beliau pergi ke China.

Bagaimanapun Hock Seng berkata, dalam dua perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani di antara kerajaan negeri dengan Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (BUCG) sekitar 2011, tidak menyatakan projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Menurut Hock Seng, selepas MoU dimeterai projek itu diberikan kepada Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), yang merupakan syarikat usaha sama dengan BUCG.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, pada hari keenam perbicaraan kes rasuah Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata, beliau kemudian bertemu dengan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Urusan CZBUCG, dan memaklumkan pertemuan mereka kepada MMK negeri.

“MMK negeri yang dipengerusikan oleh Lim (Guan Eng), kemudian mengarahkan satu kertas kerja cadangan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu, dikemukakan untuk pertimbangan,” katanya.

Sebelum ini dalam penyataan saksinya, Hock Seng memberitahu mahkamah bahawa Iklan Pre-Qualification (Prakelayakan), berhubung tender projek itu melalui laman web Kerajaan Negeri dibuat pada 11 November 2011 manakala iklan melalui akhbar tempatan dibuat 15 November 2011.

Bagaimanapun, CZBUCG telah dilantik bagi menjalankan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu, kerana syarikat berkenaan mendapat ‘markah tertinggi’ bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok (Jumaat).

Sumber | Bernama


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo