NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malakoff kaji daya maju pembangunan solar atas bumbung dengan KPDRM


KUALA LUMPUR, 30 Julai -- Malakoff Corporation Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia Bhd (KPDRM) untuk menilai daya maju membangunkan bersama projek solar atas bumbung di premis bangunan terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Semenanjung Malaysia.

Malakoff dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu berada di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih 3.0, atau bagi program penggunaan sendiri, yang mana elektrik yang dijana daripada tenaga solar akan dibekalkan kepada PDRM di bawah perjanjian pembelian kuasa solar jangka panjang.

“Kuasa yang dijana daripada projek solar atas bumbung ini akan berada pada tarif rendah berbanding tarif elektrik daripada grid nasional, yang dapat membawa penjimatan kos kepada PDRM,” kata penjana tenaga bebas itu.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata kerjasama dengan KPDRM itu merupakan satu lagi pencapaian Malakoff’ dalam usaha pengembangan segmen tenaga boleh diperbaharuinya ketika kumpulan memulakan usaha transformasinya ke arah mengurangkan intensiti karbon menjelang 2050.

“Setakat ini, kami berjaya memperoleh projek solar atas bumbung dengan jumlah kapasiti 22.32 megawatt dengan beberapa pelanggan bereputasi dan kami akan terus mencari potensi peluang dengan rakan strategik seperti PDRM,” katanya.

Malakoff baru-baru ini memperoleh enam projek solar atas bumbung dengan DRB-HICOM Group selain kerjasamanya dengan pengendali gedung membeli belah, AEON Co. (M) Bhd dan pemain industri logistik seperti Northport (Malaysia) Bhd, Johor Port Bhd dan Pos Malaysia Bhd.


“Gabungan semua projek ini akan menjana 33,243 megawatt jam setahun dan meneutralkan 23,070 tan metrik pelepasan karbon setahun,” katanya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo