Responsive Ad Slot

Lebih banyak hutan terbakar di Greece




ATHENS: Anggota bomba bertungkus lumus mengawal dua kebakaran hutan baharu di Greece semalam dalam keadaan angin kencang yang menyebabkan api makin marak lagi pantas merebak.

Keadaan itu memaksa penduduk di beberapa perkampungan dan kawasan sekitarnya terpaksa dipindahkan segera.

Kedua-dua kebakaran terbaru itu terletak tidak jauh dari lokasi tercetusnya kebakaran di sebahagian negara itu pada awal musim panas yang turut mengakibatkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan, kemusnahan harta benda, hidupan liar dan ternakan.

Kebakaran pertama berlaku awal pagi semalam di pulau Evia di timur laut ibu kota Athens dan pasukan bomba melaporkan sebahagian besar kebakaran itu berjaya dibendung tetapi ia masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

Susuan tragedi itu, penduduk di dua kawasan kejiranan dipindahkan dan beberapa kapal yang berada di luar pesisir pantai turut menawarkan bantuan untuk mengawal kebakaran.

Kebakaran kedua pula tercetus semalam di Vilia iaitu di kawasan hutan tebal sekitar 60 kilometer (km) dari barat laut Athens.

Polis Greece bertindak menyekat lalu lintas di lebuh raya berhampiran kerana angin kencang yang boleh menyebabkan api merebak dan sebagai langkah keselamatan, penduduk di dua buah kampung turut dipindahkan.

Jurucakap kerajaan, Yiannis Oikonomou, berkata perjuangan melawan kebakaran itu akan berlanjutan dan pihaknya sudah mula membaiki kerosakan serta memberikan sokongan langsung kepada mereka yang terkesan.

Menurut Jabatan Bomba, pemindahan 112 penduduk di kawasan penepatan di Vilia dan Profitis Ilias sedang dijalankan.

"Terdapat 73 anggota bomba dengan 25 jentera, dua pasukan pemantau, enam helikopter dan lima pesawat dikerah bagi memadamkan kebakaran.

"Namun, operasi ini agak sukar kerana tiupan angin masih kencang manakala persekitaran masih kering," katanya.

Kelmarin, pihak berkuasa pertahanan awam turut mengeluarkan amaran 'risiko amat tinggi' untuk tercetusnya kebakaran di beberapa tempat di Greece.

Sejak Julai lalu, kebakaran hutan tercetus di pulau Evia dan Rhodes serta hutan di utara dan tenggara Athens, selain beberapa bahagian Peloponnese, yang setakat ini sudah meragut tiga nyawa.

Kumpulan saintis sebelum ini memberi amaran bahawa cuaca panas melampau akan memudahkan kebakaran tercetus disebabkan pemanasan global.

Malah, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, turut mengaitkan tragedi itu dengan fenomena perubahan iklim. - AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/08/855243/lebih-banyak-hutan-terbakar-di-greece


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo