NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lagi tiga pemimpin DAP dakwa ditawar jawatan Menteri dan 'durian RM30'

Tiga pemimpin DAP mendakwa ditawarkan wang serta jawatan menteri untuk meninggalkan parti itu dan memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang akan diuji keabsahannya di Parlimen bulan depan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendakwa mereka ditawarkan ganjaran dan kedudukan itu oleh pihak yang tidak dikenali. Khoo mendakwa beliau ditawarkan “durian RM30” dan jawatan menteri menerusi mesej WhatsApp.

Ahli Parlimen Bandar, Kuching Kelvin Yii turut mendakwa menerima tawaran sama.“Nampaknya ‘nilai kita’ kini dikira dalam bentuk durian,” kata beliau di Twitter.

Kula yang juga naib pengerusi DAP, membuat laporan polis selepas pegawainya menerima panggilan telefon dan mesej WhatsApp, menawarkan Ahli Parlimen itu wang, jawatan menteri dan ganjaran tambahan untuk “memperolehi sokongan kepada kerajaan PN.”

“Setiausaha saya Jeremy Chumash telah membuat laporan polis mengenai perkara ini. Tetapi lebih penting, saya ingin menasihati kerajaan PN dan Perdana Menteri bahawa lebih baik mengakui kegagalan anda yang menyebabkan negara dalam kesengsaraan daripada menghabiskan masa membeli Ahli Parlimen,” kata Kula dalam kenyataan.

Kula menuduh PN menggunakan taktik tidak beretika seperti menyogok Ahli Parlimen untuk mengekalkan kuasa, tetapi pada masa sama, gagal menunjukkan kepemimpinan untuk menangani pandemik Covid-19.

Kula menegaskan dia tidak sama sekali akan menyokong Muhyiddin mahupun kerajaan PN pimpinan beliau.

Dalam pada itu, Khoo berkata beliau menerima mesej daripada nombor yang tidak dikenali, memberitahu mengenai dua kekosongan jawatan menteri sekarang.

“Keluarlah dari bayang-bayang keluarga Lim… kita perlu lebih ramai wakil bukan Melayu dalam kerajaan ini,” menurut mesej itu yang merujuk kepada dua pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, lapor Malaysiakini.

Individu tersebut turut menawarkan “Durian RM30” dan jawatan menteri, kata Khoo. Bagaimanapun, tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan “Durian RM30”, namun penghantar mesej itu menjanjikan “durian” berkenaan akan dibayar segera secara tunai.

Khoo tidak membalas mesej berkenaan dan menegaskan bahawa “Kota Melaka bukan untuk dijual.”

Setakat ini dua Ahli Parlimen Umno berundur daripada Kabinet Muhyiddin. Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi manakala Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah mengosongkan kerusi Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Mereka bertindak demikian selaras dengan pendirian Umno untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhyiddin sudah hilang majoriti di Parlimen dan harus berundur.

Rabu lalu, Muhyiddin memberitahu Yang di-Pertuan Agong Rabu lalu bahawa beliau masih mempunyai majoriti itu sungguhpun sebilangan Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya. Beliau mahu membuktikan keabsahannya menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat bulan depan.

Keabsahan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dipertikaikan sekian lama. Beliau dikatakan mempunyai sokongan amat rapuh dalam kalangan Ahli Parlimen dan penarikan balik sokongan oleh Umno, menghakis lagi sokongan itu.

- FMT



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo