NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketepi ideologi politik, bantu realisasi PPN




1 OGOS: Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat direalisasikan dengan komitmen dan sokongan pelbagai pihak, termasuk ahli politik terutama Ahli Parlimen bagi membolehkan negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

Penganalisis Politik dan Media Sosial, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, semua ahli politik perlu mengetepikan ideologi politik masing-masing dan tampil membantu kerajaan serta mengutamakan agenda rakyat melalui PPN.

“Komitmen Ahli Parlimen setakat ini masih tidak mencapai tahap maksimum sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

“Proses vaksinasi yang sedang berlaku masih belum meraih sokongan utuh dalam kalangan ahli politik dan parti-parti politik, di mana mereka pun boleh tampil ke hadapan untuk menyokong serta menggerakkan program vaksinasi itu di kawasan masing-masing,” katanya menerusi wawancara secara dalam maya bersama media tempatan, hari ini.

PPN yang diumum pada 15 Jun lalu menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian prosedur operasi standard (SOP) untuk setiap fasa dengan peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbang berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

Dalam pada itu, Sara memaklumkan, selain ahli politik, parti politik dan ketua komuniti juga perlu bekerjasama serta memberikan sokongan bagi menjayakan PPN yang menjadi pelan keluar krisis kesihatan yang melanda Malaysia sejak Mac tahun lalu.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu turut mempersoal tahap kerjasama pemimpin politik, wakil rakyat dengan ketua komuniti di kawasan masing-masing dari segi pendaftaran vaksinasi dan mencadangkan penubuhan pasukan sukarelawan yang boleh membantu dalam memobilisasikan PICK.

“Malaysia berdiri setanding dengan negara maju dari segi bantuan dan program vaksinasi yang menyaksikan sebanyak 20,533,660 dos vaksin sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam.

“Usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan pelbagai bantuan dan insentif kepada rakyat negara ini dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 sejak Mac 2020 setanding dengan negara maju seperti Kanada dan Amerika Syarikat.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersikap terbuka dalam menerima cadangan pihak lain yang menyaksikan ia terbukti apabila terdapat penambahbaikan berterusan setiap kali pengumuman pakej bantuan baharu kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh Belanjawan 2022 yang bakal diumumkan Oktober ini, Sara berkata tumpuan harus diberikan kepada sektor kesihatan negara termasuk peruntukan lebih besar kepada Kementerian Kesihatan.

“Ini bagi menaik taraf infrastruktur perubatan, menyerap petugas kesihatan kontrak ke jawatan tetap dan pemberian bantuan kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan,” katanya.

http://www.pnbbcportal.com/2021/08/01/ketepi-ideologi-politik-bantu-realisasi-ppn/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo