NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kebijaksanaan Agong atasi persepsi 'hilang majoriti' - Pakar Perlembagaan

Professor Datuk Shamrahayu Ab Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu. Gambar : Harian Metro

KUALA LUMPUR: Penarikan sokongan beberapa Ahli Parlimen masih tidak cukup untuk memperkukuhkan persepsi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan Muhyiddin meneruskan pentadbiran negara.

“Apa yang dinyatakan sokongan atau tarik balik sokongan, itu tidak menjadi bukti yang kukuh untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti.

“Itu penting untuk kita selesaikan persepsi bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti.

“Dari segi undang-undang, penarikan balik sokongan itu bukanlah satu-satunya cara apabila berlaku di luar Dewan Rakyat, seperti yang dinyatakan dalam Perutusan Khas Perdana Menteri tadi.

“Perdana Menteri juga menyatakan beliau mempunyai bukti-bukti dari segi dokumen iaitu akuan bersumpah (SD) bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Jadi di sini memerlukan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan apabila dinyatakan dalam Perutusan Khas itu bahawa Tuanku telah perkenan Perdana Menteri kekal mengendalikan pentadbiran, itu seolah-olah telah diterima dan diperkenan oleh baginda,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, ahli-ahli politik perlu mentaati titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan Muhyiddin untuk terus mentadbir negara ketika ini.

Pada masa sama, beliau yang juga pakar Perlembagaan berkata, Perdana Menteri juga perlu untuk membawa Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat pada September depan, walaupun dinamika politik mungkin berlaku dalam tempoh sebulan ini.

“Baginda telah memperkenankan supaya Usul Undi Percaya itu dibawa pada September.
“Saya seru kepada semua orang politik ini supaya mentaati titah Tuanku, jikalau kita kata, kita menjunjung titah Agong yang memperkenankan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan tugas sebagai ketua kepada Jemaah Menteri.

“Ini termasuk juga menunggu saat di mana usul tersebut akan difailkan.

“Kita mengharapkan juga kepada Perdana Menteri, apa yang dinyatakan hari ini akan diteruskan, walaupun senario perubahan berlaku seperti penarikan balik sokongan atau penambahan balik sokongan.

“Walaupun perubahan senario itu berlaku, kita pegang kepada perutusan Perdana Menteri yang dibuat pagi tadi,” katanya.

- Astroawani


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo