NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Istilah kerajaan interim terpakai apabila tiada kerajaan sah akibat darurat keselamatan




Istilah kerajaan interim terpakai apabila tiada kerajaan sah akibat darurat keselamatan. Sebuah kerajaan interim hanya wujud dalam dimensi perundangan negara, apabila negara berdepan darurat keselamatan yang pada ketika itu tiada kerajaan sah sedia ada wujud.

Perkara itu diperjelaskan oleh pakar perlembagaan yang juga Penyandang Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz setelah menegaskan pembentukan kerajaan interim yang bersifat sementara, tiada dalam Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang negara.

Jelas beliau lagi, di sesetengah negara, istilah kerajaan interim atau dikenali juga sebagai kerajaan kecemasan atau peralihan, merujuk kepada kerajaan ditubuhkan ketika sesebuah negara baru sahaja ditubuhkan atau satu kerajaan gagal bertahan sebagai sebuah kerajaan setelah berlakunya revolusi atau perang saudara.

“Sesetengah negara menggunakan istilah ini selepas berlakunya suasana keselamatan yang tidak tenteram dengan kerajaan interim ini mungkin mempunyai tugas untuk mengembalikan keadaan kucar kacir dan tidak selamat kepada keadaan normal.

“Di negara kita Perlembagaan tidak secara langsung mengandaikan keadaan ini berlaku dan tiada istilah seumpama itu digunakan dalam Perlembagaan.

“Dengan kata lain istilah ‘interim’ yang digunakan itu tiada dalam Perlembagaan Perlembagaan atau undang-undang kita.

“Mungkin, andai mahu digunakan istilah ini dalam dimensi perundangan negara, kerajaan seperti ini ditubuhkan semasa keadaan darurat yang pada ketika itu tiada kerajaan sah sedia ada,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian di tengah-tengah kemelut peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka akan diumumkan selepas beliau selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, tengahari Isnin.

Sejak Ahad, beberapa pemimpin utama UMNO mencadangkan supaya pembentukan sebuah kerajaan interim diperkenankan Istana Negara sebagai solusi penyelesaian krisis politik pada saat pandemik Covid-19 semakin membarah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan pelantikan seorang Perdana Menteri interim yang tiada kepentingan politik serta pembentukan Kabinet dianggotai jumlah menteri yang kecil mampu memastikan kerajaan lebih fokus dalam menangani krisis Covid-19.

Paling penting, Asyraf Wajdi berpandangan tempoh kewujudan kerajaan interim yang tidak terlalu lama dan sekadar menfokuskan usaha menangani pandemik sehingga negara mencapai tahap imuniti berkelompok juga ideal bagi mengurangkan risiko politiking.

Ketika ini, nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein disebut-sebut sebagai calon terbaik bagi mengemudi kerajaan interim yang berpaksikan kepimpinan UMNO.

Sementara itu, Shamrahayu turut berpandangan Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan sekiranya sebuah kerajaan ditubuhkan oleh kerana gagal atau jatuhnya sebuah kerajaan lain tetapi Parlimen tidak dibubarkan, maka ia adalah sebuah kerajaan biasa sebagaimana ditubuhkan selepas pilihan raya.

Tambah beliau, secara umum, di Malaysia, sekiranya istilah kerajaan atau Perdana Menteri interim mahu digunakan, ia adalah merujuk kepada tempoh masa sementara namun bukan kerajaan yang terhad dari segi fungsi atau kuasanya.

“Ia tidak seperti caretaker government atau kerajaan sementara yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar.

“Pada pandangan saya, istilah interim tidak tepat untuk digunakan kerana (sekiranya) kerajaan baru ditubuhkan akibat Perdana Menteri meletak jawatan, ia bukan kerana berlakunya keadaan darurat atau wujudnya kekecohan atau gangguan kepada keselamatan sebagaimana kebiasaan di negara lain.

“Penggunaan istilah yang tepat amat penting agar ia tidak menimbulkan silap faham sekiranya kerajaan baru ditubuhkan kemudian nanti,” katanya lagi.






............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo