Responsive Ad Slot

Israel disentuh riuh sedunia, Israel menceroboh diam membisu


ISRAEL DISENTUH RIUH SEDUNIA, ISRAEL MENCEROBOH DIAM MEMBISU

Hari ini semakin terdedah sehingga menonjolkan diri sebenar betapa sikap ‘double standard’ negara Barat dan sekutunya apabila diberitakan bahawa kapal yang membawa barangan Israel diserang di laut Oman sebelum ia dibuktikan. Lantas Amerika Syarikat dan Great Britain membuat kenyataan bersedia melakukan penyelarasan bersama bagi menyahut seruan Israel supaya diambil tindakan terhadap Iran yang dituduh melakukan serangan tersebut. 

Adapun ketika Israel dengan nyata mengganas terhadap rakyat Palestin setiap hari sehingga mengorbankan banyak nyawa orang ramai, negara kuasa besar itu tidak pernah membuat kenyataan mengutuk. Walhal Israel juga bertindak merampas rumah kediaman, kebun dan ada juga yang dimusnahkan serta menyerang negara jirannya Syria dan Lubnan setiap minggu atau bulan. 

Bahkan, negara kuasa besar itu sentiasa berada di belakang tindakan veto terhadap segala keputusan yang hanya mengutuk Israel. Walaupun belum lagi diambil sebarang tindakan. Langkah yang dilakukan hanyalah atas prinsip untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan Israel, langsung tidak mementingkan keselamatan Palestin dan negara Arab yang diceroboh tersebut. 

Sejak tahun 1948, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima lebih daripada 3,000 pengaduan salah laku Israel terhadap rakyat Palestin dan negara jirannya. Namun begitu, PBB tidak mempunyai kemampuan untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap Israel, kerana pengaruh kuasa besar Barat yang dibayangi oleh gerakan Zionis.

Undang-undang antarabangsa akan digunakan, apabila Israel disentuh. Sebaliknya tidak mempedulikan undang-undang tersebut, apabila Israel menceroboh negara lain sehingga bersikap melampau. Walaupun sudah ada keputusan PBB yang tidak membenarkan tindakan terhadap Palestin, namun pendatang Yahudi terus mengganas dengan dilindungi oleh pasukan keselamatan Israel. 

Negara Amerika Syarikat yang dikatakan bersahabat dengan negara Islam dan Arab itu lebih berkhidmat kepada negara haram Israel, menunjukkan peranan khadam kepada tuannya lebih diutamakan daripada peranan sahabat. Apakah rahsia di sebalik pendirian yang tidak bermoral ini?

Semua negara yang bersahabat dengan negara-negara Barat itu ditempatkan pangkalan tentera, yang menjadi tujuan yang lebih penting bagi menjamin keselamatan Israel daripada negeri yang mengizinkan pembinaan pangkalan itu.

Di samping itu, bertujuan menjaga kepentingan sumber ekonomi yang banyak di situ dan membantu bagi melakukan kekacauan di negara-negara Timur Tengah secara khusus, bahkan mereka juga mencatur dalam kalangan negara-negara tersebut. Termasuklah menukar kerajaan yang mereka mahu dan menjatuhkan pemimpin yang tidak disenangi tanpa mengikut lunas demokrasi yang kononnya menjadi perjuangan mereka. 

Lebih nyata lagi adalah menjadi benteng pertahanan menghadapi ancaman negara Islam bukan Arab di sebelah timur bermula dari Indonesia sehingga Iran, dari Asia Tengah sehingga Turki di sebelah utaranya.

Negara haram Israel dibekalkan dengan segala persenjataan, termasuklah senjata pemusnah yang diharamkan. Tidak akan diizinkan sekali-kali negara setempat lebih kuat daripada Israel. Sebarang kemajuan sains dan teknologi yang mengatasi Israel diharamkan dengan berbagai-bagai helah, khususnya apabila ia dianggap menjadi ancaman kepada Israel. Negara-negara khadam itu pasti akan bertindak termasuklah menggunakan tentera bagi menakluknya demi menjaga keamanan Israel. 

Umum mengetahui betapa pengaruh Zionis yang menjadi jentera gerakan pelampau Yahudi terhadap politik, ekonomi, media dan lain-lain. Sehingga mereka dapat mempengaruhi rakyat umum seluruh negara Barat dalam menentukan kemenangan parti dan pemimpin yang paling berpihak kepada negara haram Israel. Sekalipun negara-negara Barat itu dikatakan sangat bebas dan demokratik. 

Media digunakan bagi menggambarkan Israel sebagai negara yang dizalimi dan diancam keselamatannya, walaupun Zionis adalah penggerak kepada segala kekacauan dan kezaliman yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini.

Semua pihak yang bermusuh dengan Israel akan dilabelkan dengan pelampau, sama ada negara, parti politik, NGO, atau individu. Sehingga ada negara yang menggubal undang-undang untuk bertindak terhadap golongan anti-semitik yang menjadi asalnya bangsa Yahudi. 

Di manakah manfaat buat negara yang telah melaksanakan dasar normalisasi terhadap Israel atas tujuan menggalakkan perdamaian oleh negara Islam dan Arab terhadapnya? Sekiranya mereka terus melindungi keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan ke atas negara jirannya yang bersimpati kepada Palestin.  

Sejak negara haram Israel ditegakkan, bumi Palestin dirampas dan dipaksa penduduknya untuk meninggalkan tanah air dan kediaman, sehingga langkah Israel semakin agresif. Mereka terus meluaskan lagi jajahan takluknya dengan mendapat perlindungan daripada negara-negara kuasa besar tersebut. Begitu juga pendekatan melalui penyelesaian dua negara (two-state solution) tidak ditunaikan oleh Israel, bahkan mereka terus mengaktifkan penempatan baru kepada pendatang Yahudi yang dibawa masuk ke bumi Palestin.  

Seruan mereka yang mengajak kepada perdamaian, laksana telunjuk lurus kelengkeng berkait adalah satu penipuan syaitan besar yang nyata dan terang lagi bersuluh. 

Negara besar yang menghantar misi perdamaian antara Palestin dan Israel tidak mampu menahan sikap syaitannya, apabila tindakan ganas Israel dibalas dengan tindakan yang sewajarnya. Maka, negara pendamai itu tetap bersama Israel. Hal ini juga menunjukkan betapa sikap mereka yang nyata berpihak kepada kezaliman Zionis itu. 

Kini, berlaku kebangkitan rakyat Palestin yang dinamakan intifadah melibatkan semua lapisan rakyat terdiri daripada kalangan lelaki dan wanita, sehinggalah orang-orang tua dan kanak kanak. Semua kumpulan Palestin juga menunjukkan kesedaran bersama bahawa mereka tidak boleh ditipu lagi. Kesedaran juga berlaku dalam kalangan negara Barat sendiri, apabila turut menunjukkan protes terhadap kezaliman Israel. 

Perubahan yang berlaku menunjukkan hampirnya ajal Israel dan negara yang dipergunakan dengan agenda normalisasi akan dikecewakan. Ketika itu, ternyata perangai syaitan akan meninggalkan mereka yang ditipu dan syaitan itu tetap bersama dengan rakannya yang paling dimurkai oleh Allah SWT (iaitu Israel). Maka, benarlah firman Allah SWT yang menceritakan sikap Iblis, pemimpin syaitan sebagaimana berikut:

﴿وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ فَلَمَّا تَرَاءَتِ الْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَى عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكُمْ إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ٤٨﴾ 

“Dan (ingatlah) ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka (yang salah itu), serta menghasut mereka dengan berkata: ‘Pada hari ini tiada sesiapa pun daripada kalangan umat manusia yang dapat mengalahkan kalian, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kalian.’ Maka, tatkala kedua-dua pasukan itu (angkatan tentera Islam dan kafir Musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku berlepas diri dari kalian, kerana sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kalian tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan azab seksa-Nya sangatlah keras.’” (Surah al-Anfal: 48)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 4 Muharram 1443 / 13 Ogos 2021



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo