NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Boleh cuba sokong Umno tapi tak sokong Zahid’, kata ahli MT


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin membidas gesaan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) tetapi tidak menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, gesaan bekas timbalan perdana menteri itu disifatkan tidak praktikal dengan situasi politik negara.

“Kalau kita bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tapi tak sokong presiden Bersatu, itu tidak praktikal. Kita sokong PAS tapi tak sokong Haji Hadi.. tak praktikal.


“Tapi kalau nak cuba dalam Umno boleh. Kita sokong Umno tapi tak sokong presiden Umno,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu pada satu sidang media hari ini selepas menerima memorandum daripada beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan.

Mereka menyerahkan memorandum meminta Muhyiddin mengekalkan kedudukan sebagai perdana menteri.

MT Umno akan bermesyuarat petang ini bagi membincangkan isu terkini negara.

Zahid yang berhadapan pelbagai tuduhan di mahkamah sebelum ini mempertahankan pendiriannya mendesak Muhyiddin berundur namun pada masa sama, katanya Umno tetap akan menyokong PN.

Beliau antara ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak menyokong Muhyiddin, selain bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut Zahidi, kementeriannya juga memberi amaran kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah terhadap pihak istana dan pemimpin negara.

“Saya ada bukti, termasuk ahli-ahli Parlimen mengeluarkan dokumen-dokumen palsu istana. Kita dah semak, dokumen itu tak betul.

“Kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Zahidi turut menyelar tindakan ahli-ahli pembangkang yang mengadakan demonstrasi semalam yang didakwa mengalihkan perhatian negara daripada peperangan melawan Covid-19.

Dalam pada itu, Zahidi yang juga ahli Parlimen Padang Besar berkata, Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Kita hantar 40 tandatangan menyokong Muhyiddin, dan kita sedang runding lagi tiga (PKR) untuk sokong kerajaan PN.

“Kita sedang bincang kalau boleh presiden Umno pun sokonglah sebab kerajaan ini kerajaan bersama yang mana Umno dapat jawatan timbalan perdana menteri,” kata Zahidi.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo