Responsive Ad Slot

Barisan Kabinet baharu akhirnya diumumkan, KLCI melonjak hampiri paras 1,600

KUALA LUMPUR: Pasaran ekuiti tempatan terus memecah rekod tertinggi dalam tempoh dua bulan ini sehingga hampir mencecah paras 1,600 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Kabinet baharu.
Indeks utama, FBM KLCI yang memulakan dagangan lebih rendah pagi semalam berjaya ditutup 4.42 mata lebih tinggi kepada 1,590.16 daripada paras penutupan pada Khamis, 1,585.74.

Pergerakan menaik penanda aras pasaran itu didorong oleh sektor tenaga dan penjagaan kesihatan serta indeks hijrah dan syariah di bursa tempatan.

Bagaimanapun, prestasi dagangan secara keseluruhannya agak negatif apabila jumlah kaunter rugi mengatasi jumlah kaunter untung, pada perbandingan 620 daripada 393, dengan 445 kaunter tidak berubah serta 801 lagi tidak didagangkan.

Menurut HLIB Research, tidak mustahil untuk FBM KLCI kembali berlegar dalam julat 1,600 hingga 1,615 berdasarkan peningkatan dalam pembelian ekuiti oleh pelabur asing ekoran risiko politik negara yang mula mereda.

Ini juga dipacu oleh kelonggaran sekatan pergerakan dalam pelbagai sektor ekonomi selain kadar vaksinasi yang meyakinkan, jelas firma itu dalam nota penyelidikannya, pada Jumaat.

Beralih kepada prestasi kaunter untung, DKSH Holdings (Malaysia) Berhad berakhir dengan lonjakan harga saham terbesar, apabila ditutup 97 sen lebih tinggi kepada RM4.23 dengan RM13 juta nilai dagangan saham bertukar tangan.

Ini diikuti oleh Dutch Lady Milk Industries Berhad yang kekal berada di dalam kaunter tersebut sejak awal dagangan pagi ini, berakhir 64 sen lebih tinggi kepada RM33.40.
Turut merasai impak positif itu termasuk saham IHH Healthcare Berhad, Kobay Technology Berhad, OM Holdings Limited dan Sam Engineering & Equipment (M) Berhad.

Saham Vitrox Corporation Berhad sebaliknya terpelosot di kaunter paling rugi, apabila ditutup 40 sen lebih rendah kepada RM18.60, diikuti oleh Genetec Technology Berhad yang menyusut 28 sen kepada RM29.10 pada penutupan dagangan Jumaat petang.

Selain Vitrox dan Genetec, saham Oriental Food Industries Holdings Berhad, Rapid Synergy Berhad, AME Elite Consortium Berhad, Kumpulan H & L High-tech Berhad, dan LTKM Berhad turut berakhir lemah.
Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan pula, saham KNM Group Berhad menokok 2 sen kepada 26 sen setakat 5 petang.

Turut menjadi tumpuan pelabur adalah saham Avillion Berhad yang berakhir 2 sen lebih tinggi kepada 14.5 sen dengan 2.5 juta jumlah saham bertukar tangan.

Sumber | DagangNews.com.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo