NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen Umno harus berani jadi Hang Jebat melawan presiden




Nasib malang Umno datang bertimpa sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), Umno bukan sahaja hilang kuasa sebagai tonggak kerajaan, malah presiden dan bekas presidennya diheret ke Mahkamah atas beberapa salah laku ketika menerajui kerajaan.

Umno bernasib baik kerana dapat kembali menumpang kuasa setelah kerajaan PH runtuh hasil kesedaran Muhyiddin Yassin dan rakan-rakan di dalam Bersatu dan PKR mengenai bahaya Kerajaan PH yang didominasi oleh DAP.

Begitupun, ketika kerajaan PN yang dianggotai oleh Umno sedang bertungkus-lumus menangani ancaman wabak Covid-19, pelbagai polemik yang kemudiannya berlarutan menjadi kemelut politik telah dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin tertentu Umno termasuklah presidennya dengan mengemukakan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Paling sering didendangkan ialah kerajaan PN mengenepikan Umno dalam pentadbiran negara sedangkan 14 ahli Parlimen parti tersebut telah dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri manakala ramai pemimpin lain diberikan berbagai jawatan kerajaan lain.

Selepas mendapati Muhyiddin bertegas tidak mahu mencampuri urusan mahkamah, mereka mula mendakwa kerajaan gagal menangani wabak Covid-19 dan mengabaikan kebajikan rakyat dan yang terbaru menuduh kerajaan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Naratif buruk dan berniat jahat yang dicipta oleh Ahmad Zahid Hamidi dan penyokong-penyokongnya terhadap kerajaan ini adalah bertujuan mewujudkan momentum penentangan yang sealiran dan senada dengan parti-parti pembangkang.

Namun, kemelut politik semasa dalam parti Umno hari ini sebenarnya memperlihatkan kelemahan kepimpinan Zahid sebagai Presiden yang tidak mampu lagi mengemudi parti dan memerlukan pertimbangan segera pemimpin-pemimpin utama bagi menyelamatkan parti daripada berhadapan kemusnahan yang lebih dahsyat menjelang PRU15.

Makluman Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam bahawa keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan adalah tidak sah kerana ia dibuat setelah tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu memberi pukulan terbaru yang boleh menggoncangkan kedudukan Umno.

Susulan makluman ROS ini, telah timbul beberapa pertikaian mengenai keabsahan status MKT, kepimpinan dan keputusan-keputusan parti yang telah dibuat sejak selepas 30 Jun lalu.

Pemimpin-pemimpin Umno yang diketuai oleh Ismail Sabri selaku naib presiden Umno terkanan perlu mempertimbangkan langkah memperbetulkan semula dan memperbaiki parti sebelum terlambat sehingga berpotensi menghancurkan masa depan parti berkenaan.



Sebagai timbalan perdana menteri, Ismail Sabri mampu berperanan sebagai penyelamat dan menyatukan semula parti yang telah dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin yang mempunyai agenda politik peribadi.

Malah kedudukan Ismail Sabri sebagai pemimpin nombor dua dalam kerajaan mewakili Umno dilihat mampu mengembalikan keyakinan ahli-ahli dan membina semula parti menerusi hala tuju baru yang bersih daripada kes-kes mahkamah agar lebih dihormati oleh kawan dan lawan.

Ismail Sabri bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Umno yang menongkah arus tidak perlu takut kerana bukan sahaja ahli-ahli parti, malah rakyat yang tidak menjadi ahli kepada Umno akan menyokong mereka sebagai pemimpin berjasa besar kerana berani menjaga kestabilan politik dan kebajikan mereka ketika berhadapan dengan kemelut wabak Covid-19.

Malah, pada ketika ini pemimpin-pemimpin Umno tersebut perlu memperlihatkan sikap kepahlawanan sebenar Melayu untuk menentang kerosakan yang dilakukan oleh presiden kepada parti sehingga sehingga sanggup memperjudikan kehidupan rakyat demi kepentingan politik dan peribadi.

Tiada apa yang mereka perlu takuti untuk menentang Zahid kerana keputusan MKT untuk menarik balik sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan PN adalah tidak sah, tidak mengikat ahli-ahli Parlimen Umno dan tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atas mereka jika mereka tidak mematuhinya dan mengundi menyokong perdana menteri di Parlimen.

Hendak tidak hendak, Umno perlu patuh kepada ketetapan RoS jika tidak mahu berhadapan dengan kemungkinan diharamkan, ia wajib mengadakan pemilihan parti tahun ini.

Apa akan jadi kepada Zahid jika pemilihan parti diadakan? Mungkinkah Ismail Sabri akan bertanding jawatan presiden Umno? Dan dengan kedudukan beliau sebagai timbalan perdana menteri bukankah Ismail Sabri akan mempunyai kelebihan untuk mengalahkan Zahid?

Sebaliknya, jika ahli-ahli Parlimen Umno memilih untuk tidak menyokong usul percaya kepada Muhyiddin, bukan sahaja Muhyiddin yang perlu meletakkan jawatan, tetapi seluruh jemaah Kabinet, termasuk menteri-menteri dari Umno, juga perlu meletakkan jawatan.



Mungkin inilah yang sebenarnya strategi politik Zahid, mahukan Ismail Sabri dan menteri-menteri Umno yang lain jatuh supaya Ismail Sabri dan menteri-menteri Umno ini tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding dirinya dalam persaiangan merebut jawatan presiden Umno.

Tetapi apakah untungnya kepada Umno jika mereka membuat pilihan untuk menolak Muhyiddin dan kerajaan PN? Ke mana hala tuju mereka selepas itu dengan hanya 38 kerusi? Hendak membentuk kerajaan baru dengan DAP dan PKR pastilah tidak mungkin kerana ia sudah ditolak parti itu.

Mereka perlu berani menjadi Hang Jebat yang derhaka kepada presiden yang tidak betul, apa lagi bila sekarang presiden ini sudah tidak ada kuasa lagi setelah taringnya tercabut oleh kebebalan diri sendiri sehingga menyebabkan RoS terpaksa bertindak.

Tiada apa yang perlu mereka takutkan lagi kepada Zahid. Jika alasan mereka takut kepada Zahid ialah kerana takut beliau tidak akan memberi watikah sebagai calon dalam PRU 15, sekarang ini Zahidlah yang perlu takut kerana yang akan memberi watikah selepas ini ialah Ismail Sabri!

***Mohammad Tawfik bin Yaakub adalah pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEP), Universiti Malaya (UM).

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo