Responsive Ad Slot

Seloka Menteri : Renungan minggu ini

Renungan minggu ini.
كلمة “شورى“ [1] مهل نيلايڽ،
ترمكتوب دالم نص سوچي،
شرط اهليڽ علمو دان حكمهڽ،
بيچارا برارتي نتيجهڽ تيڠڬي.

Kalimah “syura” [1] mahal nilainya,
Termaktub dalam nas suci,
Syarat ahlinya ilmu dan hikmahnya,
Bicara bererti, natijahnya tinggi.

ڤرليمين اد كراجأن دان ڤمبڠكڠ،
برسام يڠ د ڤرتوا يڠ سنتياس لنتڠ،
بربحث، برحجه دان ساليڠ ممبنتڠ،
متلامت كيت نق رعيت سنڠ.

Parlimen ada kerajaan dan pembangkang,
Bersama Yang di-Pertua yang sentiasa lantang,
Berbahas, berhujah dan saling membentang,
Matlamat kita nak rakyat senang.

ڤندوان الهي “حسنى“ [2] تراوتماڽ،
ايڠت “خيرا“ [3] ڤسان نبيڽ،
ماري كيت عمل كلامڽ،
ڤرادبن تيڠڬي هالوس بوديڽ.

Panduan ilahi “husna” [2] terutamanya,
Ingat “khaira” [3] pesan Nabi-Nya,
Mari kita amal kalam-Nya,
Peradaban tinggi halus budinya.

راماي ڤنداي تياد ستارا
جاڠن دلوڤا ادب دان حكمه،
دظاهير ڤد سني بيچارا،
اڬر كلمة ڤنوه فاءيده.

Ramai pandai tiada setara,
Jangan dilupa adab dan hikmah,
Dizahir pada seni bicara,
Agar kalimah penuh faedah.

اوسه مڠهينا، مڠجي دان مڠچم،
تاكوت مفليس هيلڠ مليا،
تنڠ، موليق بهاس دان اينده كلام،
دنيا دسانجوڠ اخيرة بهاڬيا.

Usah menghina, mengeji dan mengecam,
Takut muflis hilang mulia,
Tenang, molek bahasa dan indah kalam,
Dunia disanjung akhirat bahagia.

ڤرليمين بوكن ميدن جناك،
شرا دڠن عقل، هاتي يڠ سلامت،
ڤلواڠ يڠ باءيق اوسه ترليك،
رعيت مننتي اڤ منفعة

Parlimen bukan medan jenaka,
Syura dengan akal, hati yang selamat,
Peluang yang baik usah terleka,
Rakyat menanti apa manfaat.

كلمة “معاف“ نيلايڽ تيڠڬي،
سديكيت چوما يڠ براني ظاهيركن،
امبيل كسمڤتن مولا سنديري،
اوسه سڬن، اونتوق لفظكن

Kalimah “maaf” nilainya tinggi,
Sedikit cuma yang berani zahirkan,
Ambil kesempatan mula sendiri,
Usah segan, untuk lafazkan.

Syukur kepada Allah kerana mengurniakan diri yang kerdil ini, secebis pengalaman di Parlimen. Saya kagum dengan Ahli Parlimen samada Kerajaan atau Pembangkang yang petah berbicara dengan fakta dan data. Mereka benar-benar buat kajian sebelum berbahas.

Cuma lebih indah jika sepanjang perbahasan, segala tutur bahasa dijaga dengan rapi. Saling hormat tanda mengasihi. Budaya ketimuran sentiasa dijunjung tinggi. 

Apa jua yang dibincangkan, moga rakyat jua beroleh manfaatnya. Maafkan saya andai tersalah menyusun kata.

Akhukum fillah,
Zulkifli Mohamad al-Bakri
28 Julai 2021
Parlimen Malaysia

——————
[1] Firman Allah SWT:
وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “…dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.”

[2] Firman Allah SWT:
وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
Maksudnya: “…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”

[3] Sabda Nabi SAW:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka katalah perkataan yang baik atau diam.”

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo