Responsive Ad Slot

Polis akan ambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan 'Keluar dan #Lawan'

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya juga akan mengenal pasti penganjur perhimpunan itu.

"Kita akan mengambil tindakan susulan dan mengenal pasti penganjur perhimpunan itu, kita ada kaedah untuk mengenal pasti mereka.

"Kita tidak menolak kemungkinan mereka mungkin penganjur yang sama dalam konvoi 'Bendera Hitam' pada Sabtu lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, dianggarkan seramai 400 orang hadir dalam perhimpunan 'Keluar dan #Lawan'.
"Kita dapati semua memakai pelitup muka, namun dari segi penjarakan fizikal mereka mungkin terlupa kerana apabila berjalan mereka rapat antara satu sama lain," katanya.

Tegas beliau, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dalam apa juga perhimpunan.

"Walaupun ia perhimpunan aman bagi maksud sosial, keagamaan dan sukan tidak dibenarkan sama sekali seperti yang terkandung di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) Pelan Pemulihan Negara 2021," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati polis menutup jalan menghala ke Dataran Merdeka, menyebabkan ramai peserta protes meletakkan kenderaan di lokasi lain dan menaiki transit aliran ringan (LRT).

Di samping itu, polis meminta para peserta supaya memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga penjarakan fizikal.

Mohamad Zainal berkata, seramai 300 orang dan pegawai polis terlibat dalam pemantauan perhimpunan itu.

"Setakat ini tiada tangkapan, namun kita akan mengambil tindakan lanjut mengikut, sekiranya ada kesalahan kita akan mengambil tindakan mengikut Akta 342," katanya.

Sumber  : Sinarharian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo