NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peniaga lega pelanggan boleh makan di kedai


SIBU: Pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) membenarkan orang ramai boleh makan di kedai berkuatkuasa esok, nyata melegakan banyak peniaga.
Majoriti daripada mereka berada dalam keadaan tersepit susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mei lalu.

Pengerusi Persatuan Peniaga Muslim Taman Selera Harmoni (TSH) Sibu Abdul Taib Rosli (kiri dalam gambar) berkata kebenaran beroperasi dan pelanggan makan di kedai merupakan berita gembira yang ditunggu-tunggu.

"Rasa lega sangat sebab perniagaan memang terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan. Lebih terkesan bila pelanggan tidak boleh makan di dalam kedai dan hanya boleh bungkus mengakibatkan para peniaga hilang ramai pelanggan.

"Mujur kerajaan negeri menyediakan Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga di TSH," katanya semasa dihubungi, hari ini.

Abdul Taib berkata, keputusan kerajaan membenarkan orang ramai makan di premis makanan merupakan langkah yang mampu menjana semula pendapatan mereka yang terjejas sebelum ini

Katanya, sektor makanan juga penting bagi memastikan tiga Indikator Utama Plan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar.

Turut berkongsi kegembiraan, Smets Gabriel (kanan dalam gambar), 46, yang membuka kedai makan di Jalan Poh Yew dan di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Jelasnya, pendapatan diperolehi merudum lebih 70 peratus susulan kekangan untuk berniaga selain jumlah yang datang merosot kerana pergerakan terhad.

"Ada juga yang beli bungkus tapi mereka merungut sebab tak ada tempat nak makan, sampai ada yang terpaksa makan dalam kereta.

“Bagi saya lebih baik kedai dibuka secara fizikal dan yang pasti cara itu dapat menarik lebih ramai pelanggan," ujarnya sambil menambah walaupun PKP mereka juga masih perlu bayar sewa.

Smets berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan membenarkan pelanggan makan di dalam kedai.

"Walaupun perlu patuhi SOP setidak-tidaknya ia memudahkan pelanggan dan kami, untuk melihat dan memilih sendiri dengan lebih dekat makanan yang dikehendaki,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo