Responsive Ad Slot

MOF turunkan kuasa kepada KKM, Mosti lancarkan pelaksanaan PICK

Kementerian kewangan (MOF) hari ini mengumumkan usaha memudahcara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangaan (PICK) sekali gus menurunkan kuasa kepada dua kementerian utama untuk memuktamadkan peruntukan dan perolehan vaksin.

Dalam sebuah kenyataan, kementerian itu memaklumkan menterinya, Tengku Zafrul Tengku Aziz, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon, dan pengurusan tertinggi MOF menghadiri Mesyuarat Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Perolehan Vaksin Covid-19.

“YB menteri kewangan menjelaskan peranan MOF dalam menyediakan tatacara perolehan dan peruntukan bagi memudahcara dan menyegerakan pelaksanaan PICK untuk mencapai objektif imunisasi lengkap bagi penduduk Malaysia menjelang bulan Oktober 2021,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, MOF mengambil tiga langkah demi memastikan objektif imunisasi lengkap dapat dicapai menjelang Oktober.

Pertama, MOF akan menurunkan kuasa kepada kementerian kesihatan (KKM) dan kementerian sains, teknologi dan inovasi (Mosti) untuk memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Langkah kedua, MOF akan meningkatkan peruntukan bagi perolehan vaksin dan PICK dari RM3 billion kepada RM5.8 bilion seperti yang diumumkan melalui pakej Pemulih pada Jun 2021.

Sementara terakhir, MOF akan memberi kelonggaran kepada KKM dan Mosti untuk menguruskan perbelanjaan peruntukan berhubung pelaksanaan PICK tertakluk kepada siling peruntukan RM5.8 bilion yang diluluskan.

“MOF juga memberi komitmen untuk terus memainkan peranannya menjayakan usaha PICK demi mencapai vaksinasi penuh penduduk dewasa dan selanjutnya membolehkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berfasa selaras dengan Pelan Pemulihan Negara,” kata kenyataan itu lagi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo