NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Konvensyen NGO Kebangsaan disertai 250 NGO garis 10 resolusi




Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 11 Jul: Konvensyen NGO Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Penerangan Isu-isu Negara Dan Peranan NGO’ yang berlangsung secara maya pagi tadi dan disertai 250 badan bukan kerajaan (NGO) berakhir dengan memuktamadkan 10 resolusi.

Demikian dinyatakan penganjur di dalam satu hantaran di laman Facebook Kongres Rakyat petang tadi.

“Menyedari bahawa NGO adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan bukan politik yang mempunyai hala tuju, objektif, peranan dan fungsi tersendiri, serta berdiri dengan sifatnya bagi membantu semua pihak dan masyarakat.

“Maka Konvensyen NGO-NGO Peringkat Kebangsaan ke-2 tahun 2021 yang bersidang pada 1 Zulhijjah 1442 Hijrah bersamaan 11 Julai 2021 Masihi dengan ini mengisytiharkan:-

“Pertama, menjadi jurubicara ummah bagi menyuarakan isu dan permasalahan pelbagai peringkat masyarakat dan rakyat kepada pihak pemerintah.

“Kedua, menyokong apa sahaja usaha kerajaan yang memberi kebaikan kepada rakyat, dan membantah apa sahaja usaha kerajaan yang menindas kepentingan rakyat,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, resolusi ketiga ialah membantu menyebarkan maklumat yang benar dan tepat ke peringkat akar umbi serta menangkis sebarang berita yang mengandungi unsur-unsur fitnah.

Resolusi keempat pula ialah mendukung, menyokong dan mempertahankan pendirian oleh mana-mana pihak yang memperjuangkan dan memelihara kesuciaan agama Islam, kedudukan Institusi Raja Berpelembagaan, Hak-hak orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu serta kedaulatan undang-undang.

“Kelima, membantu keutamaan kerajaan dalam Program Vaksinasi Kebangsaan serta Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi menangani pandemik Covid-19.

“Keenam, mendukung dan membantu sebarang usaha daripada mana-mana pihak dalam memperkasakan perpaduan ummah, mempertahankan keamanan dan kestabilan negara.

“Ketujuh, membantu membangunkan negara dengan memperkasakan kesihatan, ekonomi, pendidikan, sosial dan kebajikan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, resolusi kelapan ialah mempertahankan kerajaan yang sah daripada diganggu gugat oleh sebarang anasir yang bertindak di luar batasan undang-undang.

“Kesembilan, membantah sebarang tindakan dari mana-mana pihak yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman, ketidakharmonian dan kesejahteraan rakyat.

“Kesepuluh, menggerakkan semula Sekretariat Kongres Rakyat bagi membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat,” kata hantaran itu.

Antara pimpinan PAS yang turut menyampaikan ceramah dalam konvensyen ini ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

Program konvensyen anjuran Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat ini berlangsung secara maya dari jam 9.00 pagi hingga 12.15 tengah hari tadi dengan setiap NGO menghantar dua orang wakil.

https://berita.pas.org.my/konvensyen-ngo-kebangsaan-disertai-250-ngo-garis-10-resolusi/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo