NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan perlu benarkan doktor kontrak bermogok esok - Khalid Nordin


PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan mencari “jalan tengah” bagi menyelesaikan tuntutan doktor kontrak yang bercadang mengadakan mogok di seluruh negara esok.

Katanya, tindakan mengadakan hartal dijangka memberi kesan kritikal kepada kelancaran sistem perkhidmatan kesihatan, tetapi mereka perlu dibenarkan bermogok sebagai menghormati hak kebebasan bersuara.

“Tetapi kemudian, segeralah kedua-dua pihak kembali semula ke meja rundingan,” tulisnya di Facebook.

Khaled berkata, kerajaan perlu tampil dengan pelan penyelesaian komprehensif, mengambil kira kemaslahatan jangka panjang dan keperluan seluruh sistem kesihatan negara.

“Negara sedang berhadapan dengan darurat kesihatan yang teruk. Masalah ini tidak boleh dibenarkan berlarutan.”

Mengenai tawaran perdana menteri kepada doktor kontrak untuk pelantikan secara kontrak selama dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib dan tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh, beliau berkata, ia wajar dibincang serta dipertimbangkan.

“Jika ia tidak memadai, maka ia harus menjadi asas untuk rundingan seterusnya. Pastinya tidak semua permintaan dapat dipenuhi dan tidak semua tawaran kerajaan harus ditolak begitu sahaja.”

Beliau berkata, kerajaan wajar menunjukkan empati mendalam terhadap desakan doktor kontrak.

“Doktor dan pengamal perubatan adalah pejuang barisan hadapan negara. Mereka harus dilayan dan dihargai dengan sewajar dan seadilnya. Namun yang lebih utama ialah kepentingan nasional. Mengimbangi semua ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dan kumpulan doktor muda ini.”

Mogok yang dijadualkan berlangsung esok antara lain menuntut laluan kerjaya adil dan doktor kontrak diberikan manfaat sama seperti pegawai perubatan berjawatan tetap.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo