Responsive Ad Slot

Indonesia 'pusat wabak' COVID-19 baharu Asia

0


JAKARTA: Indonesia mengambil alih kedudukan India sebagai 'pusat wabak' baharu Asia dengan merekodkan jangkitan harian mencecah 40,000 untuk tempoh dua hari berturut-turut.

Pulau Jawa yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi menjadi 'mangsa' varian Delta yang mudah menular dan menjangkiti manusia sehingga pegawai memberi amaran supaya berwaspada.

Kuasa ekonomi terbesar Asia Tenggara itu dilapor merekodkan 47,899 kes baharu, sekali gus menjadikan ia rekod tertinggi berbanding 40,427 kes pada hari sebelumnya.

Kes jangkitan COVID-19 di India pula turun kepada 32,906 dari 37,154 kes.

Indonesia yang memiliki populasi penduduk seramai 270 juta mencatatkan sekitar 132 kes per juta orang, dibandingkan dengan India 26 setakat Ahad lalu, mengikut data ourworldindata.org.

Walaupun jumlah kematian setiap hari kurang separuh dari 2,020 yang direkodkan India, mengikut jumlah per kapita, Indonesia lebih tinggi iaitu purata tiga per juta orang jika dibandingkan dengan kurang dari seorang di negara Asia Selatan.

Bagaimanapun angka itu tidak diambil kira berikutan rekod kadar saringan dan pengesanan yang rendah.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Sadikin, berkata kadar penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 di 12 wilayah melebihi 70 peratus yang mana separuh daripadanya di Jawa dan selebihnya di kepulauan Indonesia yang lain.

Di Jakarta, kadar penggunaan katil menghampiri 90 peratus meskipun beberapa kemudahan sebelum ini ditukar menjadi hospital kerana COVID-19.

Menurut Sadikin, kerajaan bersiap sedia untuk senario di mana kes mungkin meningkat lebih 30 peratus pada tempoh dua minggu akan datang dan jangkitan menular cepat ke wilayah lain.

Antara langkah diambil adalah mengubah lebih banyak hospital biasa kepada kemudahan rawatan COVID-19.

"Seluruh negara masih ada (katil) tetapi kes di beberapa wilayah sudah tinggi kerana wabak tidak menentu berpunca varian Delta.

"(Kes Delta) masih tertumpu di Jawa, tetapi kita dapati ia turut merebak ke luar Jawa seperti di Lampung, Kalimantan Timur, Sumatra Selatan, Papua Barat, Kepulauan Riau dan Bengkulu sekarang di bawah radar kita," katanya kepada Ahli Parlimen.

Selain isu kekurangan katil, Sadikin berkata Indonesia turut berdepan masalah kekangan petugas kesihatan, oksigen dan ubat COVID-19. - AGENSI

https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2021/07/839144/indonesia-pusat-wabak-covid-19-baharu-asia


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo