NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadangan Pelan Pemulihan Negara - PAS

JAM 4:00 petang saya, Dr Mohd Mazri Yahya, Tuan Zainal Abidin Kidam mewakili PAS atas jemputan YB Dato’ Seri Tengku Zafrul Aziz Menteri Kewangan untuk program Libat Urus Pelan Pemulihan Negara. Kami membawa pandangan PAS untuk diteliti.

Terima kasih kerana menjemput PAS. Saya difahamkan semua parti-parti politik dijemput ke program ini. Semalam merupakan giliran PAS.
Advertisement

Cadangan PAS dalam program Tadbir Urus Pelan Pemulihan Negara

a. Kesihatan

Satu perbincangan di antara Kementerian Kewangan dan wakil PAS telah diadakan pada 13 Julai jam 4:00 petang di Putrajaya. Berikut ialah hasil perbincangan dan cadangan dari PAS untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Kabinet khusus untuk kluster Kesihatan.

1. Selepas diumumkan untuk PKP 3.0 pada 28 Mei 2021 dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun 2021, telah kelihatan peningkatan jangkitan kes di seluruh negara sehingga melepasi bilangan 9,000 kes sehari. Terkini ialah 11,079 kes pada 13 Julai 2021.

2. Negeri Selangor dan Kuala Lumpur telah menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah kes harian seluruh negara sejak beberapa minggu lalu. Pada masa yang sama sektor ekonomi negara tertumpu di situ. Walaupun ada negeri yang jumlah jangkitannya kecil tetapi dunia hanya melihat jumlah keseluruhan negara.

3. Kami juga mengambil maklum momentum Proses Vaksinasi Kebangsaan semakin meningkat sehingga Malaysia merupakan 10 negara terbaik di dalam melakukan vaksinasi massa. Terkini, kita telah berjaya melakukan 421,479 dos vaksinasi harian kelmarin dan Negeri Selangor sendiri telah memberi hampir 100,000 dos pertama dan kedua iaitu yang tertinggi di Malaysia.

4. Namun sehingga kini, kita juga maklum, negeri yang menyumbang lebih 50 peratus kes harian COVID-19 hanya dapat melakukan 24 peratus vaksinasi sehingga kini.

5. Justeru, kami cadangkan satu pendekatan ‘Smart Containment’ iaitu satu langkah yang lebih agresif yang perlu diberi tumpuan di Selangor dan Lembah Klang sama ada dari sudut penguatkuasaan PKPD mahupun vaksinasi harian.

6. Kami cadangkan supaya pendekatan berfokus perlu dilakukan di situ dengan menambah jumlah vaksinasi harian di Selangor dari 100,000 sehari ke sekurang-kurangnya 250,000 sehari. Sekiranya ini dapat dicapai, tahap 80 peratus vaksinasi keseluruhan di Selangor dapat dicapai dalam dua minggu dan seterusnya mengurangkan kes harian negara secara tidak langsung.

7. Fasa pemberian vaksin di bawah program PICK perlu anjal dan perlu diubahsuai mengikut kadar infeksi di sesebuah negeri. Walaupun vaksinasi pekerja melalui program PIKAS hanya bermula di Fasa 4, namun seharusnya ia dipercepatkan khusus di negeri-negeri seperti Selangor.

8. Segala sumber sama ada personal atau aset perlu digunakan untuk tujuan tersebut.

9. Langkah ini dijangka dapat mengembalikan Pelan Pemulihan Negara ke fasa kedua di hujung bulan Julai dengan jumlah kes kurang 4,000 sebulan.

10. Kes COVID-19 yang mendadak juga menyebabkan hospital-hospital kerajaan agak tepu. Kelihatan tiada koordinasi di antara hospital milik Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan. Justeru kami merasakan perlunya ada ‘central command’ dengan melibatkan semua aset dan guna tenaga dari semua yang terlibat.

11. Ini melibatkan juga sukarelawan yang bertugas di pelbagai peringkat. Tiada tadbir urus yang berpusat yang menjaga kebajikan mereka. Malah kebanyakan mereka tidak mendapat apa-apa bayaran mahupun vaksinasi terlebih dahulu. Semalam kita diberitakan dengan seramai 204 petugas di PPV Shah Alam dijangkiti COVID-19. Ini memberi impak negatif kepada kerajaan.

12. Kami cadangkan agar kerajaan sekurang-kurangnya memperuntukkan elaun makan kepada para sukarelawan ini. Kami juga ingin mencadangkan agar semua sukarelawan diberi suntikan vaksinasi sebelum mereka bertugas.

13. Kami juga mencadangkan agar kerajaan menggunakan teknologi virtual terkini di dalam kuarantin kendiri bagi CAT 1 & CAT 2 pesakit COVID-19. Penggunaan gelang untuk kuarantin kelihatan agak primitif. Penggunaan MySejahtera perlu diperluaskan dengan merubah status secara automatik apabila disahkan oleh makmal. Pergerakan pesakit diawasi dengan GPS melalui aplikasi mudah alih yang wajib diaktifkan. Arahan pelepasan kuarantin juga tidak lagi memerlukan pegawai perubatan. Cukup dengan MySejahtera.

14. Bagi membuka destinasi pelancongan pasca COVID-19, kami mencadangkan supaya Langkawi dipilih sebagai projek ‘Pilot untuk Travel Bubble‘. Kedudukannya yang berhampiran dengan Selatan Thailand yang sudahpun membuka aktiviti pelancongannya boleh mendapat manfaat limpahan pelancong ke Langkawi. Keseluruhan 70,000 penduduk di Langkawi perlu divaksinasi dan kemasukan pelancong perlu mengikut SOP Antarbangsa yang telah digunakan oleh negara-negara maju yang lain. Penggunaan ujian saringan menggunakan air liur dengan penghasilan keputusan yang pantas boleh digunakan sebagai syarat masuk dan keluar dari Pulau Langkawi.

b. Ekonomi dan kebajikan

1. Pengurangan kadar faedah 50 peratus bagi pinjaman bank yang telah diluluskan untuk diberi moratorium 6 bulan.

2. Kami mencadangkan pengurangan faedah dan pemberian moratorium kepada pinjaman daripada bukan institusi bank seperti syarikat kredit.

3. Kami mencadangkan supaya kadar faedah atau keuntungan kad kredit diturunkan kepada 4-5 peratus

4. Oleh kerana moratorium tidak diberikan kepada mereka yang tidak bayar 90 hari berturut-turut maka sudah tentu membebankan dan membawa kepada masalah muflis kepada peminjam ini. Maka kami mencadangkan supaya mereka ini diberikan moratorium selama 3 bulan. Ertinya beri peluang padanya untuk pulihkan ekonominya.

5. Kami mencadangkan tempoh projek ‘Program Prihatin Kasih’ sebanyak RM100 sebulan dinaikkan RM200 sebulan dan tempoh dilanjutkan 6 bulan melibatkan 300,000 keluarga miskin.

6. Kami mencadangkan supaya mewujudkan ‘Jaringan Kecemasan’ untuk mereka dibuang kerja yang hilang pendapatan serta merta supaya ada tempat untuk mereka bergantung dan menyelesaikan masalah mereka.

7. Kami mencadangkan supaya yuran IPTA dikurangkan sebanyak 50 peratus dan memberi RM1,000 bantuan yuran kepada pelajar di IPTS.

8. Kami mencadangkan pusat tuisyen percuma untuk anak-anak yang tertinggal dalam PdPR.

9. Kami mencadangkan supaya memperuntukkan bantuan kewangan one-off kepada guru-guru Mahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, pondok dan pra-sekolah yang terjejas dan bantuan per kapita kepada pelajar tersebut.

YB SENATOR USTAZ HAJI IDRIS AHMAD
Ahli Dewan Negara
Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo