NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Covid-19 : Selangor Makin Tenat


Shah Alam: Tabah berdiri dan perlu beratur berjam-jam lamanya dalam cuaca panas terik sepanjang lebih 500 meter untuk mendapatkan rawatan.

Itu saat getir dilalui hampir 4,000 individu positif Covid-19 yang berpusu-pusu mahu melapor diri ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13 di sini, sejak awal pagi semalam.

Angka individu yang 'menyerbu' CAC semalam dianggap jumlah luar biasa apabila kebiasaannya hanya sekitar 1,200 hingga 1,500 individu hadir melaporkan diri ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati di sini.

Namun angka meningkat mendadak sejak dua minggu lalu apabila semakin ramai warga Selangor disahkan positif dijangkiti susulan saringan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selain 'limpahan' pesakit dari daerah lain seperti Kuala Selangor, Kuala Langat dan Klang.

Pesakit Covid-19, Faizal Md Derus, 40, berkata, dia yang disahkan positif Covid-19 melalui ujian swab test datang ke CAC Stadium Malawati bagi mengetahui sama ada perlu dikuarantin di rumah atau dihantar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.

Dia yang tiba menaiki motosikal di Stadium Malawati di sini, jam 10 pagi semalam mendakwa terkejut mendapati beribu orang sudah berbaris panjang untuk mendapatkan penilaian pakar berhubung kaedah rawatan seterusnya bakal dilalui.

"Suasana seperti medan perang. Saya tambah sebak melihat ramai golongan ibu menggendong anak kecil.

"Malah, ramai warga emas datang bertongkat atau terpaksa ditolak dengan kerusi roda oleh ahli keluarga," katanya yang tinggal di Telok Datok, Banting.

Dia bersyukur pihak pengurusan CAC menyediakan bangku plastik di sepanjang barisan selain deretan khemah menempatkan individu mengalami sesak nafas atau simptom pandemik serius.

"Kebanyakan kami gusar mengetahui Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan MAEPS mengalami kesesakan pesakit yang kritikal. Tidak pasti di mana lagi kami akan ditempatkan nanti," katanya.

Dia berkata, kebanyakan pesakit tiba pada tengah hari diarah beratur di kawasan luar berhampiran parkir kenderaan dan jalan besar untuk menunggu giliran.

"Mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke khemah. Ketika ini ada antara mereka rebah pengsan secara mendadak atau sesak nafas hingga terpaksa diusung dengan troli untuk rawatan kecemasan," katanya.

Selain itu menurutnya, ramai warga asing dipercayai pekerja kilang turut dibawa ke CAC Stadium Melawati menaiki bas.

Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Petaling Mejar (PA) Juddie Turusi, berkata, jumlah terlalu ramai di CAC Stadium Malawati semalam cukup menggusarkan berikutan ia lebih tiga kali ganda dari kapasiti yang biasa ditangani.

Malah, angka terbaru jumlah pesakit covid-19 di Selangor iaitu seramai 4,308 individu semalam dan 4,682 individu kelmarin membuktikan jumlah kes jangkitan Covid-19 di tahap serius.

"Ia bukan angka sengaja dibuat-buat. Biasanya kami terima purata 1,700 pesakit sehari namun angkanya melepasi 2,000 pesakit minggu lalu dan jumlah terus meningkat hingga semalam.

"Beliau berkata, lima anggota APM ditugaskan di CAC Stadium Malawati bersama kakitangan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), polis, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pelbagai agensi lain.

"Dua anggota kami membantu di bahagian pendaftaran manakala tiga lagi membantu mengawal pergerakan orang ramai. Semua mereka perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepanjang tempoh penugasan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

Sementara itu Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron mengakui jumlah pesakit Covid-19 yang hadir ke CAC semalam adalah paling ramai dicatatkan.

Sumber berita & video :  HM

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo