Responsive Ad Slot

Aston Martin bakal keluarkan kereta edisi terhad JDT

JDT mengumumkan kerjasama dengan Aston Martin Racing Asia pada Selasa.
KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan jenama kereta terkemuka dunia, Aston Martin Racing Asia telah mengumumkan kerjasama pada Selasa yang akan mengukuhkan lagi jenama Harimau Selatan sebagai peneraju bola sepak di Asia Tenggara.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan Aston Martin mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta mereka yang akan dijual oleh kelab tersebut.

"Kami berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan Ibu Pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom dan pejabat Asia.

"Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang," kata JDT dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama ini juga boleh digambarkan sebagai kerjasama antara juara dalam bidang masing-masing dengan JDT selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut manakala Aston Martin pula adalah juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020.

"JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.

"Aston Martin Racing pula merupakan salah satu jenama antarabangsa yang bekerjasama dengan Harimau Selatan. Kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa ini juga menunjukkan peningkatan jenama kelab yang hebat dan kukuh sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2013," katanya.

Antara jenama terkemuka antarabangsa lain yang menjadi penaja dan rakan strategik JDT termasuk UNICEF, Nike, Hublot, Subway, F&N dan SWAG EV.

Sumber : Sinar  

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo