NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agong, Raja-Raja Melayu perlu waspada pihak cuba perangkap institusi raja

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah
Riuh seluruh negara bila Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, mengeluarkan kenyataan terbuka yang:

(1) Menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Seri Paduka.

(2) Menzahirkan rasa amat dukacita Seri Paduka kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin Hassan, menteri undang-undang, dan Idrus Harun, peguam negara, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

(3) Menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan terbuka ini dibuat di saat-saat ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang, khususnya Ahli-Ahli Parlimen Sepang dan Puchong, Mohamed Hanipa Maidin dan Gobind Singh Deo, berusaha keras mahu merujukkan Takiyuddin Hassan ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen atas dakwaan bahawa beliau mengelirukan Parlimen.

Pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan ordinan darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong ini juga segera disambut dengan meriahnya oleh ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang, khususnya ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, sendiri yang terus sahaja mengemukakan satu usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Ia juga disambut riang oleh ahli-ahli akademik tertentu yang sememangnya sudah tidak berpuas hati dengan kerajaan, termasuklah Dr Mohammad Agus Yusoff, yang dengan lantangnya menyebut “hari ini berlaku lagi krisis perlembagaan” dan “kerajaan ini perlu pergi” kerana “kerajaan ini telah melakukan pembohongan besar dan mengenepikan prinsip Perlembagaan serta tidak menghormati institusi diraja” dan “ini boleh dikira sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, terhadap Perlembagaan, memberi salah nyata palsu kepada Dewan Rakyat, mengelirukan Dewan Rakyat, dan membohongi rakyat Malaysia keseluruhannya.”

Dengan sedih sekali, kesemua perkara ini menimbulkan tanda tanya di dalam minda sebahagian besar rakyat mengenai kedudukan tinggi dan neutral Yang di-Pertuan Agong selaku payung rakyat kerana perkembangan ini memberikan gambaran seolah-olah Seri Paduka, sama ada disedari atau tidak, telah terperangkap atau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

Mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah peguam negara, oleh itu jika timbul indikasi bahawa Seri Paduka membelakangkan nasihat peguam negara dan menerima pakai nasihat orang-orang lain, dan Seri Paduka yang sepatutnya menerima nasihat pula bertindak memberi nasihat kepada pihak yang sepatutnya memberi nasihat maka sudah pastilah keadaan akan menjadi tunggang-terbalik.

Isu yang ada di hadapan kita sebenarnya sangat kecil sahaja, iaitu jemaah menteri pada 21 Julai telah memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat.

Sumber : Malaysianow

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo