NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan umum empat fasa Pelan Pemulihan Negara


15 JUN: Kerajaan hari ini mengumumkan empat fasa Pelan Pemulihan Negara peralihan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dengan berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold.

Perdana Menteri berkata indikator Pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian; kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapai (ICU) dan ketiganya ialah tahap populasi dilindungi berdasarkan peratusan lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP penuh yang sedang dilaksanakan dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama PKP penuh kepada fasa kedua jika purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes; sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana; dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.Pada Fasa 2, Kerajaan akan membuka sektor ekonomi secara berperingkat dengan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

“Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat. Semasa fasa kedua aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

“Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup. Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor, namun aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

“Penambahan sektor senarai positif semasa Fasa 2 termasuk aktiviti pembuatan seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

“Semasa Fasa 2, dengan pendekatan senarai positif, masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot,” katanya dalam perutusan sempena pelancaran Pelan Pemulihan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata dalam Fasa Ketiga pula melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19 yang masih ditutup.

Beliau berkata Malaysia boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang seperti purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2,000 kes; sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021. Semasa Fasa Ketiga ini semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan COVID-19 atau melibatkan keramaian; sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti Fasa Kedua; dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

“Untuk Fasa 3, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti. Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan. Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi,” katanya.

Katanya, Malaysia boleh beralih kepada Fasa Keempat sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang seperti purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes; sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi; dan 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.

“Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian. Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat,” katanya.

Muhyiddin berkata ia dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

“Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa, Kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke fasa seterusnya.

“Kesemua SOP bagi fasa-fasa yang saya sebutkan tadi akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan diumumkan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat. Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin,” katanya.

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/06/15/kerajaan-umum-empat-fasa-pelan-pemulihan-negara/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo