NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan: MAIK peruntuk RM9.78 juta bantu rakyat terjejas COVID-19

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM9.78 juta bagi membantu mengurangkan beban golongan terjejas akibat penularan COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Peruntukan disalurkan melalui pelaksanaan Program Prihatin MAIK COVID-19 (Fasa Lima) itu membabitkan enam kategori utama, termasuk bantuan khas kepada asnaf fakir miskin bernilai RM3.7 juta.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan bagi sumbangan kepada pegawai masjid dan masyarakat setempat.

"Ia meliputi bakul asnaf membabitkan peruntukan RM604,000 yang akan diagihkan sebagai bantuan sumbangan khas melalui masjid bandar, jajahan dan mukim," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bantuan program itu juga akan disalurkan kepada masyarakat Orang Asli, termasuk guru agama, membabitkan peruntukan sebanyak RM436,180.

Katanya, ia merangkumi sumbangan hamper makanan berjumlah RM227,500 kepada 4,550 ketua isi rumah Orang Asli di Kelantan.

Seterusnya, beliau berkata, RM100,000 diperuntukkan bagi membantu petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Jajahan.

"Barangan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman serta pek makanan untuk petugas barisan hadapan, yang dianggarkan bernilai RM10,000 dibekalkan kepada setiap PPV Jajahan.

"Selain itu, MAIK menyumbangkan peralatan kesihatan bernilai RM47,800 kepada hospital bagi membantu rawatan pesakit COVID-19.

"Ia membabitkan serahan dua unit High Flow Oxygen Theraphy Humidifier menerusi dana wakaf, kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya.

Mohamad Rizam berkata, MAIK turut mengambil langkah memastikan keselesaan jemaah, selain menyediakan masjid untuk membantu pelaksanaan program imunisasi kelak.

Justeru, beliau berkata, RM3.1 juta dibelanjakan bagi membaiki, menaik taraf dan menyediakan infra untuk masjid negeri, bandar, mukim serta surau di seluruh Kelantan.

Sebelum ini, katanya, empat fasa Program Prihatin MAIK COVID-19 dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM33.4 juta.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/06/823438/covid-19-maik-peruntuk-rm978-juta-fasa-lima-program-prihatin

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo