NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wisma Putra tiada maklumat insiden Dr Nur



27 MEI: Wisma Putra mengesahkan tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi dan perincian berhubung insiden membabitkan seorang pegawai perubatan Malaysia dikenali Dr Nur yang didakwa ditahan tentera Israel serta berada dalam keadaan kritikal.

Justeru, Wisma Putra meminta individu dan pemilik akaun Instagram bernama @iesya_toh dan @nurhelizahelmi supaya segera tampil bagi mengemukakan maklumat berkenaan Dr Nur.

Menerusi kenyataannya, Wisma Putra memaklumkan, mana-mana individu yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti dan keberadaan Dr Nur digesa tampil serta mengemukakan maklumat terbabit menerusi emel bkrm@kln.gov.my.

KISAH Dr Nur tular di media sosial yang dikatakan ditahan tentera Israel dan dalam keadaan kritikal akibat ditembak.

“Kementerian Luar gagal mengenal pasti butiran peribadi dan perincian insiden yang menimpa Dr Nur, sekali gus menyulitkan usaha perwakilan Malaysia menghubungi serta menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada beliau.

“Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati tiada individu bernama Dr Nur yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook Wisma Putra, malam tadi.

Pada masa sama, Wisma Putra memaklumkan, Kementerian Luar sudah berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia bagi membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan Dr Nur serta mengumpul maklumat berhubung perkara itu, termasuk tangkap skrin posting dibuat orang awam berhubung insiden menimpanya.

“Maklumat berkenaan juga sudah dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama memaklumkan, Wisma Putra sudah cuba menghubungi dua individu bernama Dr Aida dan Dr Shafiq yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dikatakan sebagai antara pihak berkongsi insiden terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung Dr Nur, namun mereka gagal dihubungi.

Jelas kenyataan itu, maklumat lanjut mengenai perkara itu adalah penting bagi membolehkan pihak kementerian mencari penyelesaian untuk membantu Dr Nur sekiranya dakwaan terbabit benar.

Kementerian Luar, menurut kenyataan itu, sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

“Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu jika rakyat Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan.

“Rakyat Malaysia disaran untuk sentiasa berhubung dengan Perwakilan Malaysia terdekat, jika berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan sebarang bantuan konsular,” menurut kenyataan itu.

Portal PN BBC, semalam melaporkan dakwaan ditularkan pihak tertentu, sejak kelmarin berhubung insiden Dr Nur yang dikatakan ditahan pihak Zionis ketika memasuki sempadan kem bagi melaksanakan tanggungjawab memberikan bantuan perubatan secara sukarela kepada rakyat Palestin dan kemudian dikurung.

Dr Nur juga didakwa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, luka teruk di bahagian dada, patah tangan, selain ditembak di kaki kerana melawan tentera terbabit.

Aman Palestin juga ketika dihubungi portal ini, mengesahkan tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan berkenaan, justeru badan bukan kerajaan yang bermatlamat membantu dana dan menjaga kebajikan rakyat Palestin itu, tidak dapat mengesahkannya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

http://www.pnbbcportal.com/2021/05/27/wisma-putra-tiada-maklumat-insiden-dr-nur/



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo