Semua kasino di Genting Highlands tutup bermula tengah malam ini



KUANTAN - Semua operasi membabitkan kasino di pusat peranginan Genting Highlands, Bentong akan ditutup sepenuhnya bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong akan memantau lokasi berkenaan bagi memastikan pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Buat masa ini, memang (kasino) masih beroperasi dan pusat itu akan ditutup tengah malam ini.

"Kita juga sudah arahkan pasukan pematuhan SOP untuk memastikan pihak terbabit mematuhi arahan dikuatkuasakan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Isnin beberapa portal mendedahkan aktiviti di kasino masih berjalan seperti biasa walaupun selepas dikaitkan dengan beberapa kes positif Covid-19.

Abd Jalil bagaimanapun berkata, kebanyakan premis lain di sekitar pusat peranginan berkenaan sudah menghentikan operasi mereka sejak minggu lalu.

Tambah beliau, pihaknya tidak mengeluarkan kompaun kepada pengendali kasino kerana mereka mempunyai kebenaran untuk beroperasi sebelum ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mei lalu mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah yang dikatakan mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan pelancong terbabit mengunjungi kasino itu atau tidak.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP lebih ketat dikenakan terhadap sektor ekonomi berkuat kuasa esok.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/140243/BERITA/Nasional/Semua-kasino-di-Genting-Highlands-tutup-bermula-tengah-malam-ini


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post