NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengambilan vaksin seumpama pakai tali pinggang keledar


28 MEI: Walaupun vaksin bukan ubat tetapi ia penting untuk diambil kerana akan bertindak sebagai perlindungan terbaik bagi meningkatkan imunisasi badan dengan mengurangkan risiko dijangkiti wabak COVID-19.

Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani menyifatkan pengambilan suntikan vaksin adalah seperti penggunaan tali pinggang keledar di dalam kenderaan ketika berada di jalan raya.

Menurut beliau, penggunaan tali pinggang keledar tidak menghalang kita daripada mendapat kemalangan jalan raya namun mengurangkan risiko berdepan dengan kecederaan parah khususnya maut.

“Vaksin ini menghalang kita daripada terkena jangkitan dan komplikasi yang teruk, sama juga dengan tali pinggang keledar. Kemalangan jalan raya boleh berlaku disebabkan kecuaian individu ataupun persekitaran atau kecuaian orang lain tetapi tetap juga mendapat kemalangan.

“Tetapi mereka yang memakai tali pinggang keledar, memandu dalam kelajuan yang sama, berlanggar dengan kenderaan yang sama, kaedah kecederaan yang sama didapati bahawa mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar mendapat kecederaan yang lebih teruk daripada mereka yang memakainya.

“Jadi, vaksin melindungi seperti mana tali pinggang keledar walaupun tidak ada polis, kita telah terbiasa memakainya. Kita tidak tahu sama ada kita akan berjumpa dengan polis, atau terlibat dengan kemalangan kita tidak tahu tetapi InsyaAllah tali pinggang keledar melindungi diri kita, begitu juga dengan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Webinar Intelektual Negara 6 bertajuk Vaksin: Sejauh Manakah Ia Mampu Menjadi Penyelamat yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Pertubuhan Intelektual Negara, hari ini.

Justeru itu, Mohd Dzulkhairi menjelaskan vaksin berfungsi untuk melawan jangkitan atau dapat mengurangkan risiko komplikasi, bergantung kepada tahap kesihatan tubuh seseorang.

Beliau juga tidak menolak sebarang kemungkinan jika peratusan sasaran yang menerima suntikan vaksin tinggi, kadar kematian serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara dapat diturunkan.

“Apabila suntikan diberikan kepada badan, respons badan manusia berbeza-beza, ada yang menghasilkan tahap imuniti yang tinggi, ada pula yang berupaya menghasilkan antibodi tapi dalam keadaan yang agak rendah, ia bergantung kepada tubuh badan masing-masing.

“Ada dalam kalangan frontliners yang telah mendapatkan vaksin tetapi mendapat jangkitan COVID-19 dan didapati jangkitan dalam kalangan mereka yang telah mendapat vaksin ini, komplikasinya rendah yang mana tidak mengalami komplikasi yang teruk sehingga mendapat COVID-19 dalam kategori tiga, empat ataupun lima.

“Badan kita mengambil masa untuk membina imunisasi tersebut, dalam jangka masa dua hingga tiga minggu, mungkin ada antara yang telah terkena jangkitan (tanpa gejala) sebelum menerima suntikan vaksin ataupun sebaik sahaja diberikan vaksin iaitu sebelum badan mereka membina kekuatan bagi melawan jangkitan,” katanya.

Sementara itu, menjelaskan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) katanya, selagi negara tidak mencapai peratusan tertentu dalam soal pematuhan peraturan tersebut, kerajaan tidak mampu isytihar negara bebas wabak berkenaan.

“Kalau sudah berjaya dicapai angka tersebut, kerajaan boleh isytihar untuk kita buka pelitup muka, kemungkinan pada waktu itu mereka yang telah mendapat dua dos vaksin pun tidak perlu memakai pelitup muka dan boleh berkumpul ramai-ramai.

“Kita tunggu dan kita harap harinya akan sampai, kita doa agar harinya akan sampai, mungkin Syawal atau Ramadan tahun hadapan kita dapat sambut dengan lebih meriah lagi daripada tahun ini,” katanya.

http://www.pnbbcportal.com/2021/05/28/pengambilan-vaksin-seumpama-pakai-tali-pinggang-keledar/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo