NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Golongan muda pembawa senyap virus COVID-19 di Selangor

SHAH ALAM: Program saringan percuma yang dilakukan kerajaan Selangor sejak 8 Mei lalu, mendapati golongan produktif berusia 20 hingga 40 tahun, menjadi kumpulan positif COVID-19 tanpa menunjukkan sebarang simptom (silent carrier).

Pengurus Selangor Health Care (SelCare), Mohd Noor Md Nasir, berkata kumpulan berkenaan disifatkan sebagai 'pembawa senyap' virus COVID-19 kerana tidak menunjukkan gejala tetapi dikesan positif menerusi ujian saringan yang dijalankan.

"Kumpulan ini adalah golongan produktif, mereka keluar bekerja, melakukan pelbagai aktiviti tanpa menyedari sebenarnya mereka positif COVID-19, sekali gus boleh menjangkiti individu lain.

"Berdasarkan saringan bermula 8 hingga 11 Mei lalu, hampir 80 peratus individu yang positif tanpa gejala adalah daripada kumpulan usia berkenaan (20 hingga 40 tahun).

"Secara keseluruhan 8,587 saringan sudah dilakukan dalam tempoh berkenaan dan kira-kira empat peratus (4%) daripadanya dikesan positif COVID-19," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Noor berkata, saringan di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik COVID-19 kerajaan negeri itu akan dilaksanakan semula mulai 18 Mei ini selepas bercuti sempena sambutan Aidilfitri sejak 12 Mei.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes selepas Aidilfitri ini, tetapi larangan terhadap aktiviti kunjung mengunjung diharap dapat membantu pengurangan kes positif.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengumumkan pelaksanaan program pengawasan COVID-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN di Selangor bermula 8 Mei ini hingga 10 Jun depan.

Katanya, saringan percuma itu dilaksanakan terhadap dua DUN setiap hari sehingga meliputi keseluruhan 56 DUN dalam Selangor.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/817044/golongan-muda-pembawa-senyap-virus-covid-19-di-selangor

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo