UMNO umpama 'harimau kertas', kata Nazri

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan UMNO umpama 'harimau kertas' selepas 'mengaum' di Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020).

Beliau berkata, keadaan itu berlaku ekoran kelemahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memastikan semua menteri dan timbalan menteri untuk meletak jawatan dalam Kabinet.

Nazri menegaskan keengganan semua ahli Parlimen UMNO melepaskan jawatan dalam Kabinet memperlihatkan Ahmad Zahid sebagai seorang yang 'kurang sifat kepimpinan' dalam menerajui parti.

"Jika beliau ada sifat kepimpinan, ahli-ahli Parlimen UMNO yang berada dalam Kabinet tidak perlu menunggu lama untuk meletak jawatan, selesai sahaja perhimpunan agung boleh terus letak jawatan.

"Tetapi perkara itu tidak berlaku dan ini menunjukkan presiden tidak ada kepimpinan untuk mengarahkan mereka berbuat demikian.

"Adakah Zahid bimbang menteri-menteri dari UMNO tidak mahu ikut arahan beliau?” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian berikutan laporan menteri dan timbalan menteri dari parti itu akan kekal dalam Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berkenaan menteri-menteri tersebut, Mohamed Nazri terus mempertahankan pendirian beliau dengan menyifatkan menteri dan timbalan menteri parti itu sebagai 'pengecut' kerana tidak meletak jawatan.

Malah beliau juga mendakwa mereka cuba mendapatkan talian hayat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal dalam Kabinet walaupun Kabinet tidak diperlukan untuk mentadbir negara ketika darurat.

Pada Selasa, Mohamed Nazri mencabar menteri dan timbalan menteri UMNO untuk meletak jawatan selepas parti itu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/131305/UMNO-umpama-&%23039;harimau-kertas&%23039;,-kata-Nazri

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post