UMNO perlu pulih hubungan dengan PAS demi MN


KUALA LUMPUR: Hubungan UMNO dan PAS melalui kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang diibaratkan sedang 'retak menanti belah' perlu diselamatkan segera, kata bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, masih belum terlambat untuk parti itu bangkit semula walaupun PAS menyatakan pendirian mengenai kesediaan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kenyataan PAS hari ini mengenai kedudukan MN sudah diduga. MN berkecai akibat pendirian beberapa kerat pemimpin tertinggi yang meletakkan strategi peribadi mengatasi keputusan parti sendiri.

"UMNO perlu dirawat dan segera mencari penawar dari diracun dari dalam oleh pimpinan sendiri. Nakhoda sendiri sedang menenggelamkan bahtera dilayari," katanya dalam satu hantaran di Facebook, di sini, hari ini.
Pagi tadi, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan mengajak semua kumpulan Islam bergerak dengan PN bersama-sama BERSATU, yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

Kenyataan itu dilihat sebagai mesej jelas kepada UMNO yang juga rakan kerjasama dalam MN, berhubung matlamat dan bentuk kerjasama diinginkan PAS pada masa depan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Annuar berkata, keretakan hubungan di antara UMNO-PAS dipercayai berpunca daripada 'kerjasama gelap' membabitkan pimpinan UMNO dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kerjasama gelap yang dijalin dengan Anwar dan komitmen menyokong Anwar sudah kantoi sehingga kita tidak dipercayai kawan dan diperalatkan lawan.

"Meskipun ada percubaan menyembunyikan perkara itu, ia tetap dihidu oleh semua.

"Yang pasti dasar 'No Anwar No DAP' yang turut menjadi dasar bersama MN dilanggar pemimpin parti yang kini membawa kepada luka dan tercederanya MN," katanya.

Beliau turut menyarankan kepimpinan parti itu kembali kepada agenda MN sebenar.

"Sejak berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad lalu, satu demi satu berita negatif menghimpit UMNO sama ada dari dalam mahupun luaran.

"Tinjauan dalam kalangan rakyat biasa jelas tidak berpihak kepada pimpinan parti, manakala dalaman parti juga tidak bertambah kuat," katanya.

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post