NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Terengganu Cuba Elak Pertandingan Tiga Penjuru


PAS Terengganu tanding semua kerusi jika UMNO enggan kerjasama


11 APRIL: PAS Terengganu akan meletakkan calon di semua kerusi di negeri itu sekiranya UMNO Terengganu masih bertegas enggan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Husain Awang berkata, parti itu seboleh-bolehnya cuba mengelak pertembungan antara PAS dan UMNO.

Namun, menurut beliau, PAS terpaksa bertanding jika UMNO masih kekal pendirian menolak parti itu.

“Kita cuba mengelak tetapi kita bersedia jika UMNO Terengganu masih bertegas dengan sikap mereka.

“Jika UMNO bersikap begitu jadi kita pun ambil sikap sama, 32 pun 32 lah,” katanya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang sebelum ini menyatakan tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU15.

UMNO Terengganu akan bergerak sendiri menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan menolak kerjasama dengan PAS

Ini kerana UMNO mendakwa parti itu tidak jujur dan melanggar syarat perjanjian persefahaman (MoU) ketika penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Dalam pada itu, Husain memberitahu apa yang diucapkan Ahmad sebenarnya tidak melambangkan sikap dan pandangan UMNO secara keseluruhan kerana UMNO Perak sendiri mengatakan mereka mahu bekerjasama dengan PAS

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS mengambil langkah ke arah perpaduan ummah dengan tiga-tiga parti Melayu mesti bergabung bagi memenuhi keperluan perubahan landskap politik negara sekarang.

“Pas cuba menyelamatkan kuasa politik Melayu, bangsa dan agama bukan bersikap menyelamat individu atau parti dan Pas masih bersikap serta berpendirian begitu,” katanya.

Ditanya sama ada Pas akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad bagi membincangkan hubungan kedua-dua parti, Husain memaklumkan perkara itu bergantung kepada arahan atau keputusan dari kepimpinan pusat.

“Arahan ini sudah tentu bukan dibuat semata-mata mengukur suasana di Terengganu tetapi mengikut kepentingan dan keperluan keseluruhan parti termasuk UMNO di seluruh negara,” katanya.

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/04/11/pas-terengganu-tanding-semua-kerusi-jika-umno-enggan-kerjasama/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo