NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS tak bermaksud keluar MN, cuma tolak politik perpecahan Melayu/Islam, kata jurucakap parti




PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Abdul Hadi Awang bahawa PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal Muafakat Nasional (MN) bukan bermaksud parti itu mahu menolak MN yang turut disertai Umno.

Ketua Penerangan Kamaruzaman Mohamad berkata kenyataan Hadi itu selaras dengan pendirian PAS sebelum ini iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Pagi tadi, Hadi mengajak semua kumpulan Islam untuk menyertai PN, yang ditunjangi oleh PPBM dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusinya.

Pendirian Hadi itu menyusul pengumuman bahawa PAS akan mengukuhkan kerjasama dengan PPBM bagi menghadapi PRU15, selepas Umno mengesahkan tiada kerjasama dengan PPBM dan kebersamaan dalam kerajaan adalah hanya sehingga pembubaran Parlimen.

Kamaruzaman berkata PAS tetap bersama MN dan PN dengan matlamat dan objektif jelas.

“Bukan (PAS tolak atau mahu keluar MN), pendirian kita masih jelas memperkukuh MN dan mempertahankan PN dan juga apa sahaja agenda yang berada di sebalik tertubuhnya MN,” katanya kepada FMT.

Katanya, apa yang dimaksudkan Hadi dalam menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal MN hanya merujuk kepada apa saja cubaan untuk memecahbelahkan ummah.

“MN didirikan atas piagam MN, bermakna kita ada matlamat yang jelas, (dan) kita ada objektif yang jelas. Jadi asas kepada MN (adalah) perpaduan. Apa sahaja perkara menjurus kepada perpecahan maka ianya sudah melanggar piagam MN, itu maksudnya,” katanya.


Selagi belum kiamat, PAS usaha satukan Umno-PPBM

Mengulas keputusan Umno menamatkan kerjasama dengan PPBM, Kamaruzaman berkata PAS tetap berusaha mendamaikan dua parti itu.

“Dunia belum kiamat. Selagi dunia belum kiamat segalanya adalah mungkin dan PAS akan terus pertegas dan memperteguhkan usaha penyatuan ummah ini dan paling pentingnya mempertemukan Umno dan PPBM,” katanya.

Pada sidang medianya di Rusila pagi tadi, Hadi menuntut PPBM tetap dijadikan ahli komponen Muafakat Nasional.

“Kita sudah bersetuju (dan) sudah tandatangani. Saya tandatangan, Ahmad Zahid Hamidi tandatangan, undang Muhyiddin (ke) dalam MN. Itu perlu dilaksanakan. Saya boleh tunjuk surat,” kata Hadi.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/02/hadi-tak-bermaksud-pas-mahu-keluar-mn-cuma-tolak-politik-perpecahan-kata-jurucakap-parti/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo