NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPDNHEP Sasar 100 Pasar Guna E-Wallet Tahun Ini




6 APR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap semua peniaga pasar tani dan pasar awam akan mengguna pakai aplikasi e-wallet bagi memudahkan urus niaga dengan pelanggan mereka, pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata sebagai permulaan kementerian menggalakkan semua peniaga pasar tani mega di Putrajaya menggunakan aplikasi e-wallet ketika menjalankan urus niaga dengan pelanggan masing-masing mulai hari ini menerusi fasa pertama program Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), sebelum diperluaskan ke seluruh negara, mulai bulan depan.

“Perbadanan Putrajaya (PPj) juga bersetuju untuk mewajibkan semua peniaga pasar tani dan awam di Putrajaya menggunakan aplikasi e-wallet sebagai salah satu syarat untuk pembaharuan lesen perniagaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Syarat berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai usaha bagi memastikan pemain industri sektor peruncitan bersedia menghadapi model perniagaan baharu berkonsepkan pendigitalan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan di Tapak Pasar Tani, Presint 2 di Putrajaya, lewat petang tadi.

ReDI merupakan sinergi strategik pelbagai agensi kerajaan dan swasta membabitkan kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain mendapat kerjasama PPj, FAMA, PBT, Maybank, Touch n Go dan Axiata Bhd.

Mengulas lajut, Rosol berkata, KPDNHEP menyasarkan 100 pasar tani dan awam menggunakan kemudahan perkhidmatan e-wallet dalam setiap urus niaga dengan pelanggan mereka menjelang akhir tahun ini.

Berikutan itu, Rosol berkata KPDNHEP berharap dengan sinergi strategik bersama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta setiap kementerian di negeri-negeri, dengan jangkaan lebih 100 pasar tani dan pasar awam akan turut menyediakan kemudahan e-wallet kepada pengguna.

Beliau berkata perkara itu selari dengan matlamat utama ReDI adalah bagi memastikan semua 12,844 peniaga di 306 pasar tani dan pasar awam di seluruh negara menyediakan kemudahan e-wallet pada masa depan.

“Saya yakin ia akan memberi satu motivasi kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana lain untuk turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna untuk membayar secara tanpa tunai,” jelasnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo