TAHUN ini, Ramadan masih dalam norma baharu kehidupan. Bezanya tahun lalu norma baharu yang ketat, keluar rumah setakat memberi barang keperluan, tidak ada solat berjemaah di masjid dan surau termasuk tarawih.
Ramadan 1441 tidak ada iftar, qiamullail, tadarus al-Quran dan sebagainya. Dalam erti kata lain masjid dan surau ditutup untuk aktiviti pengimarahan. Tahun lalu juga tidak ada bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.
Hari ini walaupun tidak semua tempat atau negeri memberi kelonggaran tetapi masjid dan surau diimarahkan semula dengan SOP yang ketat. Bazar Ramadan kembali beroperasi. Begitu juga dengan Bazar Aidilfitri.
Majlis berbuka puasa atau iftar boleh diadakan sama ada di masjid atau surau, restoran, hotel dan sebagainya walaupun tidak semua boleh berbuat demikian. Syaratnya patuh SOP.
Ada negeri yang mengikut apa sahaja keputusan di peringkat pusat dan ada juga negeri yang membuat pertimbangan sendiri atau lebih berhati-hati ketika mengambil keputusan memberi kelonggaran.
Secara tidak langsung kelonggaran yang diberi hari ini mendedahkan masyarakat kepada kumpulan atau perjumpaan ramai yang sepatutnya dielakkan. Ada risikonya jika berlaku kecuaian atau alpa.
Kelonggaran ini harus dihargai tetapi bagaimana mahu ‘meraikannya’?
‘Raikan’ kelonggaran ini tetapi jangan sampai ‘lupa diri’. Berpada-pada ‘meraikan’ kelonggaran yang diberi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hargailah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun di mana sahaja. Siapa pun kita, jagalah SOP. Jangan pandang remeh kerana sikap sedemikian boleh mengundang jangkitan.
Sementara kita mendapat peluang untuk ‘meraikan’ Ramadan kali ini, SOP Aktiviti Masjid dan Surau dan SOP Sektor Makanan Bazar Aidilfitri dan Bazar Ramadan perlu dipatuhi supaya keluk pandemik Covid-19 dilandaikan.
Ikut sahaja SOP yang ditetapkan. Biasakan dengan SOP itu. Jadikan diri sendiri sebagai penguat kuasa. Jangan terlalu bergantung kepada penguat kuasa kerajaan untuk bertindak. Mustahil semua tempat boleh dipantau.
Ingat, Covid-19 belum pasti bila akan berakhir walaupun sudah ada vaksin. Jangan kerana sudah ada sekumpulan penduduk divaksinsia, Covid-19 tidak boleh menjangkiti atau dijangkiti.
Satu kes di Singapura harus dijadikan ingatan apabila seorang lelaki warga India yang sudah mendapat dua dos vaksin tetapi masih dijangkiti Covid-19.
Langkah kesihatan termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal perlu terus menjadi amalan. Biar konsisten sebagai langkah pencegahan.
Ingat juga pesanan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang meminta masyarakat sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat.
Hari ini kita semakin terdedah dengan situasi itu lebih-lebih lagi apabila tahap kepatuhan SOP masih rendah. Tiada kawalan kendiri.
Dalam hal ini pihak pentadbir masjid dan surau serta penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri harus lebih peka perkara berkaitan SOP ini. Jangan sekadar menunggu kes kemudian bertindak ‘membatalkan’ kelonggaran.
Jangan lupa,setiap hari ada sahaja kluster baharu. Semua pihak harus bersama berusaha dan berikhtiar untuk mencegah, yang lain kita berserah kepada Allah SWT.
Pematuhan SOP amat penting kerana ia akan turut menjadi kayu ukur untuk melonggarkan aktiviti lain. Buktikan pematuhan SOP dapat mengurangkan kes walaupun kita semakin terdedah kepada ‘tempat sesak’ tumpuan awam.
Mungkin jika situasi lebih baik, MKN boleh mencadangkan rentas negeri
dilonggar atau ditarik balik. Jangan disebabkan kelonggaran hari ini akan menyebabkan rentas negeri terus kekal sehingga Hari Raya Aidilfitri ini.
Justeru, patuhilah SOP. Jangan remehkan perkara asas SOP seperti pakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal. Jangan menganggap kelonggaran yang diberi tidak boleh ‘diperketatkan’ semula selepas separuh jalan.
-BebasNews
No comments
Post a Comment