NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan buat kesimpulan awal isu bincang kerusi PAS-Bersatu


ALOR SETAR - Mana-mana pihak diminta tidak membuat kesimpulan awal berhubung tindakan Pas berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung agihan kerusi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, PAS ketika ini memberi tumpuan terhadap perbincangan dengan Bersatu termasuk pentadbiran, prosedur operasi standard (SOP) dan hala tuju Perikatan Nasional (PN), dalam masa sama tidak akan meninggalkan Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, UMNO pula perlu menyelesaikan isu dalaman parti berkenaan terlebih dahulu sebelum berbincang mengenai agihan kerusi seperti dinyatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa hari lepas.

"Sekarang, konsesus telah berlaku dalam mesyuarat PN, malah mesyuarat jawatankuasa antara Pas dengan UMNO yang diwakili Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden Pas telah diadakan beberapa hari lepas serta ada juga jawatankuasa teknikal.

"Kita tidak mahu buat andaian tentang perkara yang mereka bincang sebelum satu keputusan rasmi dikeluarkan. Sesiapa pun boleh bercakap tetapi yang sebenarnya perbincangan itu akan ada kenyataan atau keputusan rasmi. Keputusan rasmi itu yang kita ikut," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tindakan Pas berunding dengan Bersatu mengenai agihan kerusi adalah di luar kerangka Muafakat Nasional.

Sebelum itu, Awang menyempurnakan Program Malaysia Prihatin: Jelajah Prihatin 50 Tahun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Wisma Perkeso di sini.

Ketika diminta mengulas perbincangan Pas dengan Bersatu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang menjawab bahawa kedua-dua parti itu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai satu gabungan, manakala dengan Muafakat Nasional sebagai satu konsensus.

"Jadi, tiada masalah dan kita baik dengan kedua-duanya. Bila kita ingin bincang dengan Muafakat Nasional kita juga membawa keputusan dari PN. Disebabkan itu, kenyataan dua hari lepas Presiden hendak UMNO selesai urusan dalaman mereka selepas itu kita bincang agihan kerusi," katanya.

Ketika diminta mengulas bahawa Pas tidak akan mengkhianati kedua-dua parti, Awang berkata, beliau meminta tiada sebarang andaian dibuat memandangkan perkara itu belum berlaku.

Sumber: https://www.mindarakyat.net/2021/04/jangan-buat-kesimpulan-awal-isu-bincang.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo