Responsive Ad Slot

Isu ‘bodyguard’: Tidak berperikemanusiaan, antiagama


KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menganggap tindakan majikan memukul, menampar, merotan dan mengugut dua pengawal peribadi (bodyguard) menggunakan pistol adalah sikap antiagama atau Islamofobia.

Menurut Presidennya, Mohd Zai Mustafa, ia bukan sahaja menunjukkan sifat tidak berperikemanusiaan, bahkan secara jelas melanggar Undang-undang Buruh.

“UMMAH memandang serius tindakan majikan yang memukul pengawal peribadi dengan rotan dan mengancam dengan mengajukan pistol kerana tidak suka dengan pengawal tersebut berpuasa.

“Tindakan yang diambil secara wewenang memukul dan mengancam dengam pistol adalah perbuatan jenayah dan terkait dengan membenci amalan dan hak asasi manusia bagi kebebasan beragama di negara ini.

“Tindakan majikan tersebut memperlihatkan sikap yang antiagama, di luar batas perikemanusiaan dan melanggar undang undang perkerja dan majikan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau, perbuatan tersebut juga sangat bertentangan dengan amalan semua agama yang ada di negara ini.

Menurutnya semua agama dituntut menghormati amalan agama masing-masing sebagaimana yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjaga keharmonian dan perpaduan nasional.

“Tiada paksaan kepada mana-mana pihak untuk menghalang amalan agama seseorang individu terutamanya Islam sebagai agama persekutuan.

“Tindakan tegas dan pantas yang diambil oleh pihak polis sangat wajar diberi pujian dan sokongan bagi menyelasaikan isu ini dan menjaga ketenteraman awam di negara ini.

“Tidak ada suatu undang-undang di negara ini yang membenarkan seseorang atau majikan boleh mengambil tindakan sendiri untuk mendera, mengancam dan melakukan jenayah sesuka hati, melainkan ianya akan dikenakan tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang- undang yang ada dalam negara ini,” tambah beliau.

Justeru itu, beliau mendesak satu tindakan tegas mesti diambil kepada sebarang pihak yang cuba melanggar mana-mana perbuatan jenayah yang berlaku dalam negara ini. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo