Responsive Ad Slot

UMNO sebulat suara tolak kerjasama dengan Bersatu


PETALING JAYA – Keputusan UMNO mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mempertimbangkan kedudukan parti tersebut dalam kerajaan ketika rakyat berdepan pandemik Covid-19.

“Satu perjumpaan khas antara UMNO, Bersatu, dan Pas diwakili lima pemimpin tertinggi setiap parti diadakan pada 15 Februari lalu.

“Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri meminta UMNO supaya membuat pendirian jelas berhubung kedudukan kerjasama dengan Bersatu sebelum perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, oleh itu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuarat pada 19 Februari lalu dan keputusan MKT sebulat suara untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan keputusan MKT.

“Dua keputusan yang dicapai dalam mesyuarat MKT dan diutuskan kepada Perdana Menteri ialah mengenai tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina atas sebuah pakatan atau kerjasama politik, mesti berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat,” ujarnya.

Justeru itu katanya, keputusan tersebut dicapai selepas mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, baik buruknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sebelum ini tular spekulasi mengenai keputusan MKT UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15, malah perkara itu turut dikongsikan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dalam laman media sosialnya semalam. – K! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/03/04/umno-sebulat-suara-tolak-kerjasama-dengan-bersatu/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo