NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO Nak Bercerai Tapi Enggan Lafaz Talak - Rosol Wahid

 

KUALA LUMPUR: UMNO diibaratkan seperti ingin bercerai tetapi enggan melafazkan talak selepas mengambil pendirian tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Rosol Wahid, berkata keputusan UMNO yang hanya mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan menimbulkan banyak persoalan.

Beliau berkata, timbul persoalan sama ada keputusan secara dibuat secara kolektif atau sekadar keputusan peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Cuma menjadi persoalan besar, kalau dibuat secara kolektif, kenapa UMNO Perlis tak setuju dengan keputusan Presiden?

"Kenapa parti komponen MIC, MCA juga tidak setuju? Itu kita tak boleh jawab. Yang boleh jawab, Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO.

"Saya merasakan UMNO nak bercerai tapi tak nak lafazkan. Ia macam tersekat, ibaratnya benci tapi sayang.

"Bagaimanapun, sebagai rakan sekutu dalam PN, saya menghormati keputusan dibuat parti berkenaan dan kita berdoa supaya UMNO diberi hidayah dan berfikir balik keputusan itu," katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Pelancaran Kempen Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Pasar-Pasar Utama peringkat Pasar Payang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, matlamat BERSATU adalah jelas iaitu ingin bersatu dan berpadu demi agama, bangsa dan negara.

"Bagaimanapun, terpulang kepada UMNO untuk membuat keputusan dan kita sudah berpadu dan orang Melayu juga sokong tetapi tiba-tiba ada parti yang kata perjuangkan Melayu, agama dan bangsa tak nak bersama. Ini pelik tapi benar," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan yang dibuat UMNO tidak akan menjejaskan pendirian gabungan itu yang memberi keutamaan kepada isu menangani COVID-19 dan mentadbir negara dengan baik.

"Bagi kami di GPS, kita tak nak banyak isu-isu politik kerana di Sarawak, tumpuan kita kepada perkara yang lebih penting.

"Terlalu banyak politik memang tak baik bagi negara kita. Keputusan yang dibuat, terpulang kepada UMNO. Bagi GPS, ia tak beri kesan.

"Cuma kita akan memastikan kalau boleh bersama dengan mana-mana pihak yang membentuk kerajaan kerana kita inginkan kerajaan yang stabil untuk kebaikan semua kita," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo