NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Tunggu makan umpan’, Hadi beri amaran penyokong seks luar tabii



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara pemimpin yang lantang menentang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). 

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan berdiam diri dengan membiarkan pengamal seks luar tabii terus bermaharajalela.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, peringatan itu diberikan selepas golongan berkenaan semakin mendapat tempat dengan sokongan ‘pihak tertentu’.

“Saya sedang menunggu kail dimakan lebih dalam dan ditelan lebih ke dalam untuk menyentapnya.

“Ini bukanlah mencabar mana-mana pihak, tetapi hanya sekadar memberi peringatan kepada mereka yang masih berakal budi,” katanya.

Bulan lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kesalahan liwat di bawah undang-undang Syariah negeri Selangor terbatal dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua hakim negara berkata kuasa untuk menggubal undang-undang sedemikian hanya terletak pada Parlimen dan bukannya pada badan perundangan negeri.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim membuat keputusan itu selepas seorang lelaki mencabar keperlembagaan peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang mendakwanya atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Sementara itu, Abdul Hadi mendakwa kumpulan yang menyokong perkara bertentangan syarak kini tidak lagi bergerak secara berselindung.

“Buaya itu muncul atas nama tokoh-tokoh liberal, media dan NGO sehingga mengocak ketenangan hakim dan mahkamah.

“Bukan mudah untuk mendedahkan kebenaran tentang seseorang penyokong dan pembela makhluk di luar tabii, kerana ia adalah suatu sifat yang sangat memalukan.

“Binatang pun banyak yang tidak melakukan perkara yang paling luar biasa dalam kalangan makhluk di alam yang luas dan paling majmuk ini.

“Hanya segelintir manusia sahaja yang melakukan perbuatan makhluk di luar tabii,” katanya lagi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, Abdul Hadi turut berkata perbuatan seks di luar tabii bukan sahaja ditegah dalam Islam malah, penganut agama lain enggan menjadi penyokong.

Katanya, apa yang lebih malang perbuatan berkenaan sudah tidak dapat dibendung apabila kebebasan dituntut tanpa batas.

“Hari ini kita berada pada zaman manusia memperjuangkan hak asasi binatang secara lebih gigih dibandingkan daripada hak asasi manusia itu sendiri.

“Maka, tidaklah patut Malaysia hari ini ada orang seperti itu, kerana sebahagian besar daripada masyarakat negara ini masih beragama dan semua agama masih mempunyai fitrah kemanusiaannya.

“Betapa jijiknya manusia yang bersifat luar tabii, sehingga Al-Quran membawakan wahyu yang menceritakan tentang peristiwa yang benar berlaku, apabila Allah mengutuskan seorang rasul bernama Nabi Lut,” katanya.

Sumber: https://www.projekmm.com/news/berita/2021/03/09/tunggu-makan-umpan-hadi-beri-amaran-penyokong-seks-luar-tabii/1956280


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo