NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Singkirkan Politik Toksik, Kuatkan Imuniti Ummah"



Politik penyatuan dan perpaduan adalah kekuatan ampuh hadapi fitnah, penipuan dan ugutan
Politik toksik dengan memuntahkan fitnah, menggumpal penipuan dan mengancam ugut masih diamalkan oleh politikus berkepentingan diri dan terdesak. Ia petunjuk kontang jati diri dan idealisme, serta tiadanya perjuangan luhur untuk menjulang ketamadunan rakyat dan negara.

Berbekalkan modal jijik inilah Pakatan Harapan (PH) meraih pemerintahan yang kemudian ditunggangi dengan tindakan ke arah meruntuhkan tonggak-tonggak penting negara. Namun, PAS membugar kematangan politik penyatuan dan perpaduan melahirkan semula kesedaran rakyat yang terleka.

Kekuatan inilah yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ia seperti dinyata Presiden PAS, terhasil dari 'langkah kanan' yang diatur mengikut tertib proses demokrasi dan Perlembagaan. Sekali gus menyelamatkan negara dari porak-peranda angkara perebutan jawatan dan kuasa sesama PH.

Pun begitu, politikus rakus dan tersepit terus berkelakuan buruk lagi tidak berakhlak, menyimpang moral dan etika. Diadu domba fitnah dan menipu rakyat dengan propaganda 'kerajaan pintu belakang'. Juga dakwaan yang direka-reka untuk memburukkan reputasi kerajaan dan pimpinannya.

Hakikatnya, penyatuan dan perpaduan berpaksi kepentingan agama, bangsa dan negara termeterai dari Muafakat Nasional dan PN cukup ampuh dari dirempuh PH. Maka hanya dengan memecahkan kekuatan itulah yang memungkinkan mereka kembali ke persada kuasa.

Lantaran itu jangan ada yang berperangai jelik turut meneguk racun toksik dengan gertak ugut supaya PAS memilih secara eksklusif persaudaraan politik telah diikat kini. Saf kepimpinan kini wajib terus dipertahankan oleh semua parti dan NGO yang bersama dalam kerajaan kini.

Kerana agenda Melayu-Islam dan Bumiputera serta keharmonian hidup rakyat berbilang kaum dan kemakmuran negara ini sangat mustahil untuk didukung secara sempit, sombong dan tanpa setiakawan.

Mari singkirkan toksik yang ada dan perkuatkan imuniti ummah.


"Islam Memperkukuh Perpaduan"
"Memimpin Negara"
YB SENATOR IR TS HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo