NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tawaran kemasukan ke Tingkatan 1, Tingkatan 4 MRSM 2021 boleh disemak mulai hari ini


KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2021 boleh disemak secara berperingkat mulai hari ini

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azizah Mohd Dun berkata bagi calon yang berjaya, mereka akan menerima permakluman menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm di portal Mara dan sekiranya tidak berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon dianggap terbatal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi permohonan rayuan, Azizah berkata ia akan mula dibuka mulai 7 April hingga 30 Mei depan dan permohonan perlu dilaksanakan secara dalam talian.

Pada tahun ini, katanya MARA telah menerima 102,329 permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dengan kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 adalah 7,783 orang pelajar manakala bagi Tingkatan 4 adalah 2,426 orang pelajar.

“Setakat Februari 2021, pelajar MRSM sedia ada berjumlah 28,087 orang di 53 MRSM,” katanya.

Sementara itu Azizah berkata MARA masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40), dengan keutamaan juga diberikan kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar.

“Pelajar B40 yang mengikuti pengajian di MRSM tidak perlu bimbang kerana MARA menyediakan program bantuan di bawah program Budi MARA. Pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya.

“Melalui pendekatan ini, ia akan memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar dari kalangan B40 untuk mengikuti pengajian di MRSM,” katanya.

Sementara itu, Azizah turut memaklumkan dua MRSM baharu iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak akan mula beroperasi pada awal Jun depan, sekali gus memberi peluang pendidikan yang lebih besar kepada masyarakat.

MRSM menawarkan enam program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Khas Pendidikan (PKP), MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo