Responsive Ad Slot

Perhimpunan Agung Umno, Hanya 70 perwakilan dibenar hadir secara fizikal


PUTRAJAYA: Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan berkata, hanya 70 perwakilan, termasuk 60 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dibenarkan menghadiri Perhimpunan Agung Umno secara fizikal atau bersemuka di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 dan 28 Mac ini.

Katanya, perwakilan lain, pemimpin bahagian dan ahli boleh mengikuti perhimpunan agung itu secara maya, sama ada di pejabat Umno bahagian atau www.umno-online.com.my.

Beliau berkata, kehadiran wakil media untuk membuat liputan di PWTC juga dihadkan bagi mengelakkan kesesakan dan risiko penularan Covid-19 ketika perhimpunan agung itu.

“Perhimpunan agung kali ini juga menampilkan kelainan apabila berlangsung secara bersemuka dan maya selama dua hari iaitu 27 Mac 2021 untuk perhimpunan sayap Puteri, Pemuda dan Wanita, manakala 28 Mac pula dikhaskan untuk ucapan dasar presiden Umno, perbahasan, penggulungan dan majlis penutup.

“Kita akan pastikan semua perwakilan, ahli MKT, pemimpin tertinggi dan media yang membuat liputan mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat bagi memastikan perhimpunan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, antara SOP itu ialah semua hadirin wajib menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki dewan perhimpunan.

Sementara itu, dua isu besar yang dijangka menghangatkan perhimpunan agung kali ini ialah usul memutuskan hubungan dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 dan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional kerana parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai PPBM.

Perhimpunan agung itu juga dijangka hangat dengan desakan supaya pemimpin Umno yang terbabit dalam kes mahkamah berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin yang tidak terpalit skandal seperti Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan.

Sementara itu, difahamkan banyak acara sampingan termasuk upacara menaikkan bendera Umno, pameran dan jualan dibatalkan demi menjaga keselamatan serta mengelakkan penularan Covid-19.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo