Responsive Ad Slot

Tahun ini masa terbaik PRU-15 – Wan Ahmad




PETALING JAYA: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mendapat mandat baharu yang lebih kuat dipilih rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, seandainya kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya membuktikan mereka adalah pilihan rakyat, maka kerajaan yang muncul selepas PRU-15 pasti lebih diterima serta stabil.

Malah katanya, SPR tidak perlu bimbang jika PRU -15 diadakan pada masa ini jika norma dan prosedur operasi standard (SOP) ketat diperkenalkan.

“Saya kurang bersetuju dengan pandangan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim. Realitinya, semua parti politik (bukan sahaja UMNO) mahu kerajaan PN sekarang mendapat mandat baharu yang lebih kuat.

“Lihat negara luar, proses demokrasi diteruskan. Semasa Covid-19 ini, bila tiba masanya, banyak negara telah mengadakan pilihan raya umum. Saya melihat sehingga akhir tahun ini mungkin 80 peratus rakyat negara ini sudah diberi vaksin. Justeru, mengapa perlu risau untuk mengadakan PRU-15?,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Rais berkata, kerajaan PN perlu meneruskan pentadbiran sehingga cukup penggal lima tahun yang dijadual berakhir 2023.

Menurutnya, ini kerana usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 serta membela kehidupan masyarakat secara tuntas memerlukan masa serta perlu direkodkan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berpandangan, sekiranya PRU-15 hendak diadakan pada tahun ini, masa yang terbaik ialah antara Oktober dan November.

“Melihat kepada situasi negara sekarang serta memberi ruang yang cukup untuk SPR memantapkan pelaksanaan ketetapan Undi 18 tahun yang telah diluluskan Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/tahun-ini-masa-terbaik-pru-15-wan-ahmad/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo